Nahas TLDM: Helikopter Fennec tak ikut laluan, ketinggian ditetapkan


  • 112
  • Khamis, 30 Mei 2024

Dua helikopter yang sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut bertembung dan terhempas pada 23 April lalu.

HELIKOPTER Eurocopter AS555SN (Fennec) tidak terbang pada ketinggian dan laluan yang ditetapkan dikenal pasti sebagai faktor utama dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung di Lumut, Perak pada 23 April lalu.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, Lembaga Siasatan tidak menemui sebarang data yang mengaitkan kejadian itu dengan kecuaian manusia kerana tiada kotak hitam pada pesawat itu.

"Apa yang kita boleh simpulkan, Fennec tidak berada pada ketinggian dan laluan penerbangan yang ditetapkan," katanya pada Khamis.

BACA LAGI: Sambutan ulang tahun TLDM ke-90 batal, digantikan dengan majlis tahlil — Khaled Nordin

BACA LAGI: Senarai lengkap identiti 10 perwira korban nahas helikopter TLDM

Screenshot (1806)

Abdul Rahman menunjukkan rakaman kejadian ketika menyampaikan laporan penuh pada Khamis. — The Star

Faktor kedua adalah tumpuan utama atau channelized attention kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah pertukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran.

Katanya, laporan penuh itu sepadan dengan laporan awal yang telah dikeluarkan sebelum ini.

"Laporan ini juga akan dihantar ke State Ainworthiness Authornty (SAA) untuk rekod. Lembaga Siasatan juga mendapati, tiada masalah hipoglisemia atau keletihan pada kru pesawat dan tiada penggunaan bahan terlarang.

"Semua anak kapal berada dalam keadaan baik untuk melakukan penerbangan. Kematian mereka berpunca daripada beberapa kecederaan akibat nahas itu," katanya lagi.

Beliau berkata, perkara yang sama boleh dikatakan untuk Fennec berdasarkan analisis visual dan bunyi.

"Penyelenggaraan kedua-dua pesawat itu dilakukan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak pengilang peralatan asal (OEM).

"Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) mengesahkan sampel minyak, pelincir dan bahan api telah diperiksa dan disahkan normal," tambahnya.

2659851

Kedua-dua helikopter tersebut bertembung sebelum terhempas di dua lokasi berbeza.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, laporan penuh mendapati, cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk penerbangan.

Bukan itu sahaja, beliau turut menyatakan bahawa, Airbus Helicopter mengesahkan tiada peralatan yang mempunyai non volatile memory (tiada ingatan meruap, NVM) di pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan.

Ketika ditanya mengenai status kedua-dua pesawat itu, beliau berkata, TLDM akan meningkatkan kesediaan pesawat yang ada.

"Kami mempunyai tiga pesawat AW139 dan kini hanya tinggal dua, namun masih akan ditempatkan di lokasi yang ditetapkan.

"Bagi helikopter Fennec, kami mempunyai empat daripada enam yang sedang beroperasi kerana satu juga sedang rosak.

"Kami sedang meningkatkan kesediaan pesawat yang ada dan cuba mendapatkan peruntukan untuk helikopter baharu sama ada melalui pembelian terus atau pajakan," katanya.

2659181 (1)

Seramai 10 mangsa maut dalam nahas helikopter. — Ihsan ATM

Beliau pada masa sama turut menegaskan kebajikan ahli keluarga mangsa tetap diutamakan.

"Bayaran perkhidmatan dan faedah dalam bentuk pencen bulanan kepada waris yang layak telah pun bermula. Sumbangan lain daripada pihak lain melalui kutipan yang kami buka iaitu ‘Tabung Tragedi Lumut 24’ masih diteruskan dan Insya-ALLAH mendapat sambutan.

"Apabila kita tutup kutipan pada Oktober nanti, hasil kutipan akan diagihkan kepada keluarga pada masa itu atau November," jelasnya.

Beliau menambah, TDLM telah bertemu keluarga yang berpangkalan di Kuala Lumpur pada Khamis dan akan melakukan perkara sama kepada mereka yang berada di Lumut pada Jumaat ini untuk memberi taklimat berhubung keputusan laporan penuh itu.

Pada 23 April lalu, dua helikopter Tentera Laut jenis AgustaWestland AW-139 dan Eurocopter AS555SN Fennec berlanggar semasa menjalani rutin latihan untuk sambutan Hari Tentera Laut ke-90.

AW139 yang membawa tujuh anak kapal itu terhempas di tangga stadium TLDM manakala helikopter Fennec bersama tiga anak kapal merempuh kolam renang di kompleks sukan berkenaan.

Helikopter HOM (M503-3) terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut. — The Star/FARIK ZOLKEPLI DAN JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram