'Pusing kampung sampai melecet', Fasha Sandha imbau memori jalan kaki 5km kutip duit raya


  • Hiburan
  • Khamis, 11 Apr 2024

Fasha Sandha pernah berjalan lebih 5 km semata-mata mahu mengutip duit raya bersama adik-beradiknya.

DI SEBALIK kemanisan Syawal, tersimpan kenangan yang tidak boleh dilupakan buat pelakon jelita, Fasha Sandha.

Apatah lagi memori itu ketika beraya bersama adik-beradiknya pada zaman kanak-kanak mereka.

Dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, Fasha Sandha mendedahkan dia pernah berjalan sejauh 5 kilometer (km) bersama adik-beradiknya demi mengutip duit raya.

"Sampai kaki saya melecet, sebab dulu kita bukan dari keluarga yang senang, jadi sanggup berjalan jauh sebab nak kutip duit raya," katanya kepada Majoriti sambil mengimbau kenangan lama.

Malah, pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu sudah pandai berdikari dan tahu memasak seawal usia 10 tahun kerana kesibukan ibunya mencari rezeki.

"Dari usia 10 tahun dah mula memasak sebab mama (panggilan ibu) bekerja siang dan malam. Jadi kadang-kadang mama tak sempat nak masak jadi saya akan goreng sendiri telur atau ikan.

"Saya bukan dilahirkan dalam keluarga orang senang dan kami kena catu makan jugalah dulu.

"Apabila mama saya tiada di rumah sahaja dia akan sediakan semua bahan mentah untuk saya masak," katanya.

Selepas memiliki tiga orang anak, Fasha sentiasa menitikberatkan nilai syukur dalam diri anak-anak.

BACA LAGI: Aidil Aziz-Fasha Sandha sukakan 'vibe' kampung, betul-betul 'hidup' malam raya

fasha 1

Fasha Sandha bersama suaminya, Aidil Aziz dan anak-anaknya.

BACA LAGI: Elak hukum jadi haram, ketahui waktu paling afdal tunaikan zakat fitrah

Antaranya adalah dengan memupuk budaya mengucapkan berterima kasih kepada seseorang yang membuat kebaikan meskipun menghulurkan bantuan kecil.

"Anak saya memang akan ucap terima kasih lebih daripada lima kali. Macam anak-anak saya akan cakap thank you for cooking, thank you for tonight dan ucap I love you pun lebih lima kali juga," katanya.

Fasha berkata, etika itu sudah diterapkan dalam dirinya sejak kecil lagi, namun dia lebih kerap menggunakannya semenjak berkahwin dengan bekas suaminya, Datuk Rizal Ashram Ramli.

Walaupun sudah tidak bersama selepas bercerai pada 2016, Fasha tetap mengingati hal-hal yang baik berkaitan bekas suaminya itu.

"Rizal sebenarnya yang banyak mengajar untuk ucap terima kasih walaupun untuk perkara-perkara penting. Sebab sewaktu saya bergelar isterinya, dia banyak ajar etika berhadapan dengan orang, jadi saya lebih kerap ucap terima kasih kepada seseorang sekarang," katanya.

Bersama Aidil Aziz sejak mendirikan rumah tangga pada 2019, Fasha bersyukur kerana di samping suami tersayangnya itu, dia belajar menjalani kehidupan dengan lebih tenang.

"Saya bersyukur dikurniakan suami seperti Aidil yang sangat bertolak ansur. Dia juga seorang yang begitu tenang," ujarnya.

Sementara itu, menceritakan mengenai persiapan raya buat 2024, Fasha mendedahkan bakal melaram dengan lebih 45 busana berbeza yang kebanyakannya merupakan hadiah daripada kenalan pereka fesyen.

"Tema pakaian raya, saya tak kisah apa saja yang dipilih anak-anak kerana baju raya saya lengkap dengan pelbagai warna. Jadi, tema apa yang mereka pilih, saya ikut saja" katanya.

Bercakap soal perkembangan semasa, Fasha kini sibuk di lokasi penggambaran drama Khilaf Yang Tertulis arahan Jamal Khan, sebanyak 15 episod untuk slot Samarinda TV3.

Fasha, 40 dan Aidil, 37, berkahwin pada Mac 2019 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aisha Amaira.

Sebelum ini, Fasha pernah mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram atau Jejai dan dianugerahkan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 9, dan Putri Raysha Jemaima, 8. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram