SETIAP calon wakil rakyat yang diundi dalam pilihan raya memainkan peranan penting dalam menyuarakan pendapat serta keluhan masyarakat kepada pihak atasan.
Diberikan mandat selaku ketua bagi kawasan masing-masing, kepercayaan serta harapan rakyat terhadap mereka pastinya tinggi menggunung agar dibantu dari segi keperluan dan masalah dihadapi.
Namun, dalam pada kelantangan individu berkenaan membangkitkan isu kepada pihak kerajaan, ada juga situasi lucu dan 'panas' yang berlaku hinggakan tular di laman sosial sebelum ini.
Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat merayu agar langkah penyasaran diesel yang diumumkan baru-baru ini ditarik semula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mendakwa individu dengan hobi memancing juga terkesan dengan situasi itu, beliau berkata bahawa jumlah kos sehala bagi aktiviti memancing menelan harga yang agak tinggi.
@hajihanafiahmat Subsidi minyak ? #ybc #pakciktiktok #kekaltenang ♬ The Endless Night - Resonance Suite Version - William Joseph Puchot
Hantaran itu menerima kecaman hebat di platform X apabila ramai mengkritik tindakannya yang dianggap 'lapar' subsidi itu.
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga lagi insiden tular membabitkan ADUN ataupun golongan pemimpin negara yang pernah tercetus sebelum ini.
1. Calon Bebas pakai selipar RM2
Bekas calon wakil rakyat Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee mencetuskan perhatian ramai apabila mengangkat dirinya sebagai salah seorang wakil rakyat yang sanggup memakai selipar berharga RM2.
"Saya sahaja YB yang boleh pakai selipar RM2, naik kenderaan rasmi motor skuter ini, pakai motor roda tiga, pasang bendera sendiri. Wakil rakyat lain boleh buat macam saya?" ujarnya.
Kenyataan itu dibuat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021 di mana beliau bertanding bagi kerusi DUN Pengkalan Batu.
Walaupun tewas dalam saingan itu, undi yang diperoleh Norhizam adalah yang tertinggi dalam kalangan 22 calon Bebas yang mengambil bahagian dalam PRN Melaka.
2. ADUN Chukai pertikai menu Rahmah
ADUN Chukai, Hanafiah Mat Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu sebelum ini pernah meraih kecaman selepas didakwa memperlekeh hidangan Menu Rahmah.
Berdasarkan video tular itu, Hanafiah dilihat menjamah hidangan tersebut sambil merungut tentang sayur yang sedikit dan tiada kuah.
Video yang tersebar meluas di laman sosial itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen dan ada yang menganggap beliau telah menghina rezeki.
Namun, beliau menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa perkongsian video itu bukanlah seperti diperkatakan ramai selain turut memberikan amaran kepada pihak yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya.
3. Bekas Ketua Pemuda Umno pamer kereta mewah
Bekas ketua Pemuda Umno Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin pernah menjadi bualan netizen susulan tindakan beliau yang mempamerkan koleksi kereta serta motosikal mewah miliknya.
Melihatkan situasi itu, netizen tampil mempersoalkan sumber kekayaannya sehingga mampu membeli kereta berjenama mewah termasuklah beberapa buah Lamborghini.
Dituduh menyeleweng duit rakyat, beliau tampil menepis dakwaan tersebut dengan mengatakan kemewahan dimilikinya adalah hasil daripada perniagaan dijalankan bersama adik-beradiknya.
Malah, beliau turut menjelaskan bahawa dia dan abangnya juga banyak menyumbang kepada tahfiz serta menyediakan bakul makanan bagi yang memerlukan, di bawah Yayasan Hussin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram