Rosmah gagal libatkan polis, kerajaan kes tuntutan kehilangan barang kemas


Dalam pembelaannya, Rosmah menegaskan sekiranya 43 barang kemas itu hilang, polis atau kerajaan Malaysia harus bertanggungjawab di atas kerugian itu.

DATIN Seri Rosmah Mansor gagal dalam usahanya untuk melibatkan polis dan kerajaan sebagai pihak ketiga ke dalam kes saman AS$14.57 juta (RM67.4 juta) di Mahkamah Tinggi terhadapnya berhubung kehilangan barang kemas.

Hakim Ong Chee Kwan, dalam keputusannya berkata, polis dan kerajaan tidak bertanggungjawab untuk memberi pampasan kepada Rosmah.

Rosmah bagaimanapun bebas untuk memulakan tuntutan sivil berasingan bagi sebarang kerugian yang didakwa dialami daripada tindakan pihak berkuasa berhubung barang kemas terbabit.

BACA LAGI: Penjimatan subsidi sahaja tidak cukup, perlu ada rombakan sistem percukaian — Pakar ekonomi

BACA LAGI: Malaysia tak cukup pakar pokok — PArM

Peguam Rosmah, Reza Rahim memaklumkan kepada media bahawa mahkamah tidak membenarkan permohonan mereka untuk memasukkan polis dan kerajaan sebagai pihak ketiga dalam tuntutan mahkamah kerana pihak tersebut bukan bukan tortfeasor (entiti yang didapati melakukan kesalahan sivil dan mencederakan pihak lain) dan tidak bertanggungjawab untuk membayar pampasan kepada Rosmah bagi sebarang liabiliti dan kerugian.

Reza berkata, pihaknya akan merayu keputusan itu.

Untuk rekod, defendan yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh memohon untuk memasukkan pihak ketiga yang bukan sebahagian daripada saman utama untuk menuntut sumbangan, indemniti atau sebarang remedi yang dituntut oleh plaintif.

Semasa prosiding dalam kamar di Kuala Lumpur pada Rabu, peguam, Venothani Rajagopal mewakili plaintif Global Royalty Trading SAL, manakala Peguam Kanan Persekutuan Syafiq Affandy mewakili polis dan kerajaan.

Tuntutan itu akan didengar dalam perbicaraan penuh mulai 2 Jun dan 6 Jun 2025.

Datin Seri Rosmah Mansor and Datuk Seri Najib leaving the parliamen house together afyer celebrating  his birthday at the parliament lobby, Monday, July 22, 2018. RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Rosmah (kanan) juga merupakan isteri kepada Najib.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah dan mendakwa wanita itu berbohong dengan mengatakan 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, yang dihantar kepadanya oleh ejen syarikat telah disita Pihak berkuasa Malaysia bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut, Lubnan itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas itu disimpan polis, dan 43 keping selebihnya tiada dalam simpanan pihak berkuasa.

Global Royalty juga mendakwa Rosmah mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia dalam kehilangan barang kemas itu.

Dalam pembelaannya, Rosmah menegaskan sekiranya 43 barang kemas itu hilang, polis atau kerajaan Malaysia harus bertanggungjawab di atas kerugian itu.

Beliau mendakwa bahawa barang kemas terbabit berada dalam simpanan pihak berkuasa pada setiap masa.

Rosmah meminta polis dan kerajaan, antara lain, memberi pampasan dan/atau menyumbang kepada bantuan yang diminta oleh syarikat barang kemas itu.

Menurutnya, syarikat seperti Global Royalty mencari publisiti untuk produk mereka dan mahu beliau menjadi pelanggan.

Rosmah menambah bahawa barangan akan dihantar kepadanya untuk menarik pembeli, dan beliau tidak diwajibkan membelinya.

Sebagai respons, firma itu berkata, pihaknya merupakan "syarikat barang kemas yang mapan dan terkenal" dan beroperasi di peringkat antarabangsa serta tidak memerlukan publisiti tambahan daripada Rosmah.

Syarikat itu memulakan saman terhadap Rosmah pada 26 Jun 2018 dan menuntut beliau memulangkan 44 barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga penuh semua barang kemas itu yang berjumlah AS$14.79 juta.

Saman itu yang ditarik balik pada 2019 bagaimanapun difailkan semula pada tahun lepas. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram