RM189 bilion disalurkan kepada dana luaran, meningkat hampir 3 kali ganda — KWSP


  • Bizz
  • Ahad, 26 Mei 2024

KWSP juga berusaha memperkasa semua syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana luaran untuk memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

BARISAN pengurus dana luaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya menghasilkan pulangan baik tahun lalu dengan jumlah pendapatan tertinggi, kira-kira 22 peratus daripada keseluruhan pendapatan dana itu di sebalik pasaran tidak menentu dan mencabar.

Dalam satu kenyataan, pengurus dana persaraan negara itu memaklumkan sebanyak RM189 bilion telah disalurkan kepada pengurus dana luaran untuk dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap sehingga 31 Disember 2023.

Ujarnya, jumlah itu mewakili 17 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

BACA LAGI: Usia 60 tahun tak jadi penghalang, anak Sarikei jadi orang Sarawak pertama tawan Everest

BACA LAGI: Kerajaan tidak akan perkenal cukai baharu — Anwar

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, jumlah dana diurus pengurus ekuiti dan pendapatan tetap luaran terbabit meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM189 bilion berbanding lima tahun lalu.

"Selain daripada memaksimumkan pulangan risiko terlaras peringkat portfolionya, KWSP juga berusaha memperkasa semua syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana luaran untuk memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

"Dedikasi mereka menghasilkan nilai berkekalan menyumbang kepada kejayaan KWSP dalam memberikan pulangan mampan di samping melindungi kesejahteraan persaraan ahli," katanya dalam kenyataan tersebut.

Pada masa sama, KWSP juga mengumumkan 11 pemenang di Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP 2023 bagi mengiktiraf prestasi cemerlang barisan pengurus dana luarannya mengikut mandat masing-masing, dinilai berdasarkan beberapa set metrik kuantitatif.

11 pemenang terbabit ialah AIIMAN Asset Management Sdn Bhd bagi kateogri Pengurus Dana Ekuiti Domestik Terbaik (Syariah) 2023); Pheim Asset Management Sdn Bhd (Pengurus Dana Ekuiti Domestik Terbaik (Konvensional) 2023); BNP Paribas Asset Management Malaysia Sdn Bhd (Pengurus Dana Bon Global Terbaik 2023) dan Principal Asset Management Bhd (Pengurus Dana Ekuiti Antarabangsa Terbaik bagi MSCI Pasaran Pesat Membangun Amerika Latin 2023).

Chairman Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir_2

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Robeco Institutional Asset Management memperolehi anugerah Pengurus Dana Ekuiti Antarabangsa Terbaik bagi Faktor Pelaburan 2023; Abrdn Malaysia Sdn Bhd (Pengurus Dana Ekuiti Antarabangsa Terbaik bagi MSCI Etika Asia (tidak termasuk Jepun, tidak termasuk Malaysia) 2023) dan AHAM Capital Asset Management (Pengurus Dana Ekuiti Domestik KWSP Terbaik 2023).

Kategori Pengurus Dana Ekuiti Global KWSP Terbaik 2023 dan Pengurus Dana Luaran KWSP Terbaik 2023 pula jatuh kepada Amundi.

Amundi Aalam Sdn Bhd dan Amundi Malaysia Sdn Bhd masing-masing memperoleh anugerah Pengurus Dana Ekuiti Antarabangsa Terbaik bagi FTSE Syariah Dunia Maju 2023 dan Pengurus Dana Ekuiti Antarabangsa Terbaik bagi FTSE Beretika Dunia Maju 2023.

KWSP memaklumkan bagi tahun kewangan berakhir 2023, pihaknya mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.50 peratus dengan agihan RM50.33 bilion untuk Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus dengan agihan RM7.48 bilion bagi Simpanan Shariah.

Secara kumulatif, jumlah agihan pada 2023 ialah RM57.81 bilion.

Ahmad Badri berkata, pencapaian itu turut disumbang oleh pempelbagaian dilaksanakan pengurus dana dalam kelas aset, pasaran dan mata wang berbeza yang membantu KWSP kekal berdaya tahan terhadap turun naik pasaran di samping melindungi pulangan pelaburannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram