Kapal terbang usang, perubahan cuaca ekstrem didakwa antara punca insiden 'air turbulence'


  • Massa
  • Jumaat, 24 Mei 2024

Keadaan pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 selepas mengalami keadaan gelora udara (turbulent) kuat pada Selasa lalu.

SEORANG penumpang maut dan beberapa lagi cedera apabila pesawat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Lapangan Terbang Heathrow di London menuju Singapura mengalami keadaan gelora udara (turbulent) ekstrem pada Selasa lalu.

Dalam kejadian itu juga, Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand mengesahkan sembilan rakyat Malaysia termasuk seorang kru cedera dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321.

Namun, insiden tersebut bukanlah kali pertama terjadi melibatkan gelora udara yang kuat sehingga menyebabkan beberapa kapa terbang terpaksa membuat pendaratan cemas.

BACA LAGI: 'Terangkat sampai ke siling', pelajar Malaysia kongsi detik cemas insiden pesawat SIA

BACA LAGI: Seorang penumpang SIA maut, 30 cedera akibat pergolakan udara

Memetik laporan media antarabangsa, Houston Chronicle, menerusi satu kajian yang diterbitkan tahun lalu, penumpang udara mengalami 55 peratus lebih banyak gelora udara berbanding empat dekad yang lalu.

Walaupun kecederaan yang disebabkan oleh gelora udara jarang berlaku, namun data yang dikumpul oleh Federal Aviation Administration dari 2009 hingga 2022 mendapati bahawa 34 penumpang dan 129 anak kapal telah melaporkan kecederaan serius akibat gelora udara.

Susulan kejadian itu, Majoriti senaraikan tiga faktor yang mungkin menjadi penyebab dan perlu dititikberatkan pihak berkaitan.

1. Perubahan cuaca ekstrem

2707579

Perubahan cuaca ekstrem boleh menyebabkan gelombang udara yang lebih kerap dan lebih kuat di dalam pesawat. — Gambar hiasan

Perubahan iklim telah menyebabkan peningkatan dalam kejadian cuaca ekstrem seperti ribut petir, aliran jet atau arus udara jet (jet stream) yang lebih kuat sehingga menyebabkan perubahan mendadak dalam suhu dan tekanan udara.

Keadaan ini boleh menyebabkan gelora udara yang lebih kerap dan lebih kuat.

Merujuk kepada kejadian yang menimpa pesawat penerbangan SQ321 itu, seorang perunding penerbangan dan bekas penyiasat kemalangan pesawat, Tim Atkinson berkata, kemalangan itu mungkin berpunca daripada perubahan cuaca yang mendadak.

"Kita melihat kepada apabila berlakunya perubahan cuaca, kejadian itu akan menyebabkan gelora udara menjadi lebih teruk dan itu adalah sesuatu yang industri penerbangan cuba tangani pada masa ini," katanya memetik laporan media BBC.

Kajian global yang diterbitkan tahun lepas oleh Universiti Reading di United Kingdom turut mendapati bahawa perubahan iklim meningkatkan gelora udara semasa penerbangan dan ia meramalkan bahawa trend itu akan bertambah buruk.

2. Ketidakstabilan atmosfera

P1000071

Perubahan suhu yang mendadak, terutama antara lapisan udara yang berbeza, boleh menyebabkan arus udara naik dan turun dengan cepat, mengakibatkan gelora udara. — Gambar hiasan

Cuaca yang tidak menentu boleh menyebabkan udara menjadi lebih tidak stabil, yang seterusnya menyumbang kepada gelora udara.

Contohnya, penerbangan melalui kawasan yang mengalami ribut petir atau arus udara naik turun yang kuat boleh menyebabkan pengalaman yang tidak selesa dan berbahaya.

Dalam erti kata mudah perubahan suhu yang mendadak, terutama antara lapisan udara yang berbeza, boleh menyebabkan arus udara naik dan turun dengan cepat, mengakibatkan gelora udara.

Pengarah Penerbangan dan Operasi Teknikal di Agensi International Air Transport Association (Iata), Stuart Fox berkata, ramalan cuaca yang menunjukkan hadapan cuaca masuk atau aliran udara di atas gunung boleh menunjukkan peluang lebih tinggi untuk gelora di udara.

"Tetapi anda tidak dapat melihatnya. Kekuatan dan arah aliran udara boleh berubah dengan cepat, dan ramalan cuaca hanya boleh menunjukkan kemungkinan," kata Stuart, memetik The Guardian .

Angin bergelora sebegini boleh menyebabkan pesawat terkeluar dari landasan, kehilangan ketinggian dengan cepat, atau bergoyang dengan kuat.

3. Kapal terbang usang

Usang

Kapal terbang lama mungkin tidak mempunyai reka bentuk aerodinamik yang secanggih kapal terbang moden, yang direka untuk menangani gelora udara dengan lebih baik.— Gambar hiasan

Kapal terbang yang sudah lama beroperasi mungkin lebih terdedah kepada masalah teknikal jika tidak diselenggara dengan baik. Komponen yang haus atau teknologi lama boleh menyebabkan kapal terbang kurang stabil semasa menghadapi gelora udara.

Pada masa sama, kapal terbang lama mungkin tidak mempunyai reka bentuk aerodinamik yang secanggih kapal terbang moden, yang direka untuk menangani gelora udara dengan lebih baik.

Terdahulu, Majoriti melaporkan penumpang pesawat SIA SQ321 tidak menerima sebarang amaran sebelum penerbangan tersebut mengalami keadaan gelora udara kuat sehingga mengakibatkan seorang penumpangnya maut pada Selasa.

Ketika penerbangan dari London, United Kingdom ke Singapura hanya berbaki kira-kira tiga jam, seorang pelajar tempatan, Dzafran Azmir hanya berasakan keadaan pesawat tidak stabil sebelum ia mula bergegar.

Dalam kejadian tersebut, seorang penumpang terbunuh dan 30 lain cedera selepas kapal terbang itu mengalami pergolakan udara ketika dalam penerbangan dari London ke Singapura tetapi terpaksa melakukan pendaratan cemas di Bangkok, Thailand.

Terdapat 16 rakyat Malaysia dalam penerbangan tersebut yang kesemuanya kini menjalani rawatan di Bangkok. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram