'Terangkat sampai ke siling', pelajar Malaysia kongsi detik cemas insiden pesawat SIA


  • Benua
  • Rabu, 22 Mei 2024

Alat bantuan pernafasan terkeluar di dalam pesawat itu akibat gangguan dialami ketika pesawat masih berada di udara. — Agensi

PENUMPANG pesawat Singapore Airlines (SIA) SQ321 tidak menerima sebarang amaran sebelum penerbangan tersebut mengalami keadaan gelora udara (turbulent) kuat sehingga mengakibatkan seorang penumpangnya maut pada Selasa.

Ketika penerbangan dari London, United Kingdom ke Singapura hanya berbaki kira-kira tiga jam, seorang pelajar tempatan, Dzafran Azmir hanya berasakan keadaan pesawat tidak stabil sebelum ia mula bergegar.

Lelaki berusia 28 tahun itu kemudiannya hanya mampu memeriksa pemakaian tali pinggang keledar meskipun penumpang lain tidak berbuat demikian.

BACA LAGI: MAS hampir ditutup,ini 3 isu selain MYAirline pernah jejaskan syarikat penerbangan negara

BACA LAGI: Seorang penumpang SIA maut, 30 cedera akibat pergolakan udara

2707573

Keadaan pesawat Singapore Airlines yang mengalami gangguan ketika dalam perjalanan ke Singapura. — Agensi

"Tiba-tiba, kapal terbang terjunam dan mereka yang tidak berhati-hati jatuh daripada tempat duduk masing-masing sehingga ada yang mengenai siling pesawat sehingga remuk.

"Telefon pintar saya terjatuh jauh daripada genggaman dengan barangan lain turut berselerak akibat gangguan itu," katanya.

Dalam kejadian tersebut, seorang penumpang terbunuh dan 30 lain cedera selepas kapal terbang itu mengalami pergolakan udara ketika dalam penerbangan dari London ke Singapura tetapi terpaksa melakukan pendaratan cemas di Bangkok, Thailand.

Difahamkan, terdapat 16 rakyat Malaysia dalam penerbangan tersebut.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa penumpang yang maut merupakan warga UK, sementara 71 yang lain sudah dibawa ke Hospital Samitivej Srinakarin di Bangkok, Thailand dengan beberapa terpaksa menjalani pembedahan segera.

Setakat laporan yang dikeluarkan, enam penumpang cedera parah dengan yang lain hanya mengalami kecederaan tidak serius.

"Krew dan individu yang berada di dalam tandas merupakan mereka yang paling terkesan kerana setelah pendaratan dibuat, kami dapati mereka hanya terbaring akibat hentakan di kepala dan tulang belakang," kata Dzafran.

Ambulans kemudian tiba dan pelajar itu berkata, sekurang-kurangnya lapan individu terpaksa menggunakan pengusung untuk dibawa keluar sebelum dikejarkan ke kawasan kecemasan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram