Seorang penumpang SIA maut, 30 cedera akibat pergolakan udara


  • Benua
  • Selasa, 21 Mei 2024

Syarikat SIA berkata, pesawat Boeing 777-300ER itu membawa 211 penumpang dan 18 krew. — REUTERS

SEORANG penumpang maut dan 30 lagi cedera selepas sebuah pesawat penumpang Syarikat Penerbangan Singapura (SIA) mengalami pergolakan udara yang teruk ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Heathrow di London ke Singapura.

Dalam kenyataan di Facebook pada Selasa, SIA berkata, akibat situasi tersebut, haluan pesawat itu ditukarkan ke Bangkok dan membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabumi pukul 3.45 petang.

Laporan media tempatan Thailand menyebut kira-kira 30 orang cedera akibat insiden itu.

BACA LAGI: 'Perisik' Israel tinggal di hotel 5 bintang, sempat beli-belah di butik mewah

BACA LAGI: Tapak nuklear Zionis jadi sasaran Iran jika diserang balas

Syarikat itu berkata, pesawat Boeing 777-300ER itu membawa 211 penumpang dan 18 krew.

"SIA mengucapkan takziah terhadap keluarga mangsa yang terkorban," kata kenyataan itu.

Pihaknya turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi membantu kesemua penumpang dan krew selain menghantar pasukan bagi memenuhi keperluan kesemua yang terlibat.

Difahamkan, terdapat 16 rakyat Malaysia dalam penerbangan tersebut.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa penumpang yang maut merupakan warga Britain berusia 73 tahun, sementara 71 penumpang yang cedera sudah dibawa ke Hospital Samitivej Srinakarin di Bangkok, Thailand dengan antara mereka terpaksa menjalani pembedahan segera.

Setakat laporan yang dikeluarkan, enam penumpang cedera parah dengan yang lain hanya mengalami kecederaan tidak serius. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram