Komen kasino Forest City, mahkamah arah Che’gu Bard 'tutup mulut'


Che'gu Bard kini berdepan pendakwaan di Mahkamah Tinggi berhubung kes kasino di Forest City, Iskandar Puteri. — Facebook/Chegubard

MAHKAMAH Tinggi, di Johor Bahru, Johor, mengeluarkan perintah larangan bersuara kepada Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Che'gu Bard, untuk mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berhubung kes kasino di Forest City, Iskandar Puteri yang sedang dihadapinya.

Menurut laporan Sinar Harian, Hakim, Datuk Abu Bakar Katar pada Isnin membuat keputusan terbabit selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan perintah larangan itu.

Abu Bakar memutuskan demikian selepas mendapati perintah yang ditolak hakim Mahkamah Sesyen itu gagal menimbangkan keseluruhan senario kes membabitkan responden.

Menurut beliau, responden telah dituduh atas dua kesalahan berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melibatkan kes hasutan dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Responden telah pun diberi jaminan bagi kes-kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Dalam keadaan ini, responden bebas menggunakan media sosial membuat hantaran atau komen-komen berkaitan kes ini.

"Di sinilah, Hakim Mahkamah Sesyen gagal menimbangkan risiko nyata dan besar untuk responden mengulangi hantaran hasutan yang sama terhadap Yang di-Pertuan Agong, sekiranya perintah larangan bersuara tidak diberikan," ujar Abu Bakar.

Mahkamah turut berpendapat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan kepada responden untuk bersuara bukannya hak yang mutlak kerana ia tertakluk kepada sekatan undang-undang.

Malah katanya, responden tidak perlu menggunakan media sosial untuk mempertahankan haknya atas pertuduhan yang dihadapinya.

"Responden akan mendapat perbicaraan yang adil sebagaimana yang dijamin dalam Perkara 5 (1), Perlembagaan Persekutuan. Responden turut diwakili oleh seorang peguam yang berpengalaman dan kompeten," kata hakim ketika membacakan keputusannya pada Isnin.

Abu Bakar berkata, berdasarkan alasan-alasan itu, Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa semakan yang ada bagi mengetepikan perintah penolakan larangan bersuara oleh Mahkamah Sesyen, sebelum ini.

"Mahkamah ini mengeluarkan perintah larangan bersuara (Gag Order) ke atas responden, ejen serta sesiapa wakil daripada apa-apa hantaran atau komen di media sosial berkaitan kes ini sehingga perbicaraan diselesaikan," katanya.

Pada 30 April lalu, Che'gu Bard didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City menerusi media sosial.

Beliau didakwa membuat penerbitan menghasut menerusi akaun Facebook miliknya dengan nama 'Che GuBard' di Mutiara Villa Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pukul 6.30 petang, 26 April lepas.

Sementara itu, dalam laporan berasingan, peguam Che'gu Bard, Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan anak guamanya akan membuat rayuan terhadap keputusan diputuskan Mahkamah Tinggi Johor Bahru. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram