[VIDEO] Tujuh wakil rakyat BERSATU ada 14 hari balas surat, berisiko hilang keahlian parti


  • Politik
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Hamzah berkata, mereka perlu menjawab dan mengikut arahan dalam surat itu jika tidak mahu keahlian terhenti.

ENAM Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU yang berpaling tadah diberi tempoh 14 hari mulai Jumaat untuk menjawab ‘surat arahan’ daripada kepimpinan parti.

Andai gagal berbuat demikian, mereka berisiko hilang keahlian parti, kata Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Malah katanya, jika situasi itu berlaku, mereka berkemungkinan besar perlu mengosongkan kerusi sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).

BACA LAGI: Enjin mati, penunggang motor terpaksa redah banjir di lebuh raya PLUS Ipoh

BACA LAGI: ADUN Kupang dedah kes pecah rumah libatkan warga emas tinggal sendiri makin berleluasa di Kuala Pegang

“Kita ingin mereka mengetahui bahawa kepimpinan BERSATU tak menyokong dan menyertai kerajaan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) pada Jumaat.

Mengulas mengenai 'surat arahan', Hamzah berkata, terdapat arahan tambahan dalam surat bertarikh 17 Mei yang dihantar melalui e-mel, kurier dan diserahkan secara peribadi kepada semua wakil rakyat terlibat.

"Ada arahan tambahan dan mereka tahu apa itu. Media boleh berjumpa dengan mereka (untuk mengetahui) arahan yang saya berikan.

"Pada masa sama, saya difahamkan bahawa beberapa wakil rakyat takut untuk menerimanya secara fizikal," kata Hamzah.

Hamzah berkata lagi, surat itu juga menyebut dengan jelas bahawa Perikatan akan kekal sebagai pembangkang dan akan membawa suara rakyat ke Parlimen.

Tambahnya, wakil rakyat BERSATU diingatkan bahawa keahlian parti mereka akan dihentikan jika mereka didapati mengisytiharkan sokongan kepada parti lawan.

“Jika mereka menyokong parti lawan...tanpa keluar parti, maka ini menjejaskan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan lain dalam perlembagaan negeri, yang dianggap suci.

“Kami mahu mereka mengikut dan setia kepada perjuangan serta pendirian parti,” tambah Hamzah.

Awal tahun ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan meluluskan pindaan perlembagaan BERSATU bagi membolehkan parti itu membatalkan keahlian wakil rakyat yang bertentangan dengan pendirian parti.

Enam Ahli Parlimen BERSATU yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang).

Pada 6 Mac lepas, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang juga bekas Pengerusi BERSATU Selangor pula menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Mac lalu. — The Star/TARRENCE TAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram