Jabatan Peguam tolak representasi Sanusi batal 2 tuduhan menghasut


Pada 1 Februari lalu, Sanusi berjaya dalam permohonannya memindahkan dua pertuduhan itu ke Mahkamah Tinggi.

JABATAN Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk membatalkan dua tuduhan menghasut yang dihadapinya.

Menerusi prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Jumaat, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud dilaporkan berkata, keputusan berkenaan dimaklumkan kepada pihak pembelaan yang mewakili Sanusi sebelum ini.

Penolakan representasi terbabit dibuat pada 3 Mei lalu.

BACA LAGI: Umno boleh bangkit tanpa tukar Ahmad Zahid, pendekatan ‘data driven’ antara langkah disaran KJ

BACA LAGI: 'Tiada keperluan untuk reformasi pelantikan ahli, Pengerusi SPR'

Pada 18 Julai 2023, Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak pada pukul 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 1 Februari lalu, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berjaya dalam permohonannya memindahkan dua pertuduhan itu ke Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan itu dibacakan semula dengan Sanusi, 50, mengekalkan pengakuan tidak bersalah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram