Serangan Ulu Tiram: Tiada warga Singapura direman, suspek bukan anggota JI — Ketua Polis Negara


  • 112
  • Sabtu, 18 Mei 2024

Serangan Balai Polis Ulu Tiram mengorbankan dua nyawa anggotanya.

POLIS mengesahkan tujuh individu yang direman bagi membantu siasatan berkait serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Jumaat tidak membabitkan warga Singapura.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, semua individu yang ditahan dan direman adalah warga tempatan.

"Semua ditahan warga tempatan. Tiada (warga Singapura) seperti dilaporkan," katanya.

BACA LAGI: Balai polis diserang: Tiada CCTV, dua pelajar IPT, bapa suspek JI antara 7 ditahan

BACA LAGI: Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram bawa 'shield', mahu rampas senjata api — KPN

Terdahulu, seramai tujuh individu ditahan bagi tujuan siasatan berkait kes serangan Balai Polis Ulu Tiram.

Kesemua tujuh individu tersebut direman selama tujuh hari selepas arahan itu dikeluarkan oleh majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin di IPD Seri Alam, Masai. Tempoh tahanan reman bermula dari 18 hingga 24 Mei.

Mereka direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Arahan tahanan reman itu sepatutnya dikeluarkan dekat Mahkamah Majistret Johor Bahru namun begitu ia dilakukan di IPD Seri Alam atas tujuan keselamatan.

Dalam perkembangan terbaharu, memetik laporan Berita Harian, suspek didapati terbabit dalam insiden serangan mengorbankan dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi bukan anggota Jemaah Islamiyah (JI).

"Ya suspek disahkan bukan anggota JI. Dapatan ini hasil siasatan lanjut yang dijalankan pihak polis," kata Razarudin pada Sabtu.

Tragedi serangan Balai Polis Ulu Tiram itu menyebabkan dua pegawai polis terkorban iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar serta Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.

Jenazah kedua-dua pegawai polis itu dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor untuk disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir.

Selepas itu, kedua-dua jenazah akan dihantar ke kampung halaman masing-masing iaitu Bidor, Perak serta Kuantan, Pahang. The Star/REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram