Kelab Media Putrajaya kesal, SUA Menteri Kesihatan tidak profesional


  • Massa
  • Jumaat, 17 Mei 2024

KMP kesal dengan sikap tidak profesional yang ditunjukkan SUA kepada Menteri Kesihatan yang dianggap memperlekeh pengamal media.

KELAB Media Putrajaya (KMP) kesal dengan sikap tidak profesional yang ditunjukkan Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Kesihatan, Nik Azmi Nik Fathil yang dianggap memperlekeh pengamal media.

KMP menerusi satu kenyataan menjelaskan, tindakan Nik Azmi merendahkan pengamal media yang ingin mendapatkan penjelasan dan maklumat tambahan berhubung statistik berkaitan program tersebut langsung tidak boleh diterima.

Persatuan tersebut berkata, perbuatan itu tidak mencerminkan jawatan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau.

BACA LAGI : Dua anggota maut ditembak dan ditetak, suspek bertopeng serang Balai Polis Ulu Tiram

BACA LAGI : Polis belum terima laporan penunggang motor cedera di dagu terkena 'jerat' tali di SUKE, desak mangsa tampil

“Permintaan maklumat tambahan tersebut berasas apatah lagi ia membabitkan hasil penyelidikan yang menuntut angka yang tepat.

“Kami pengamal media sentiasa dituntut untuk beretika dan menyampaikan fakta yang betul dalam pelaporan.

"Namun jika ini reaksi yang diterima, ia akan mengganggu tugas kami untuk menampilkan laporan sahih, padat dan berkualiti kepada masyarakat,” katanya pada Jumaat.

WhatsApp Image 2024-05-17 at 14.49.49

Tangkap layar kenyataan yang dikeluarkan KMP berhubung tindakan tidak profesional SUA Menteri Pendidikan.

Kenyataan itu dibuat susulan aduan daripada beberapa pengamal media yang membuat liputan Majlis Pelancaran Hasil Penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan Permintaan Jagaan Kesihatan serta ‘Global Adult Tobacco Survey’ (GATS) Malaysia 2023 di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada Khamis.

Tambah KMP, ketika pemberita mengajukan soalan kepada Dr Dzulkefly semasa sidang akhbar selepas program tersebut, Nik Azmi bertindak mencelah dan menjawab bagi pihak Menteri.

“Apakah ini prosedur baharu pentadbiran yang mana SUA boleh menjawab bagi pihak menteri ketika sidang media?

“Hubungan saling memerlukan dan melengkapi antara pengamal media dan setiausaha-setiausaha akhbar kepada menteri amat penting dalam menyebar luas maklumat terutama dasar, inisiatif serta pencapaian kerajaan yang bermanfaat dan membentuk pemikiran masyarakat, selain menjadi semak dan imbang kepada negara.

"Teguran ini juga ditujukan kepada Ketua-ketua Unit Komunikasi Korporat kementerian, pegawai di Unit Komunikasi Korporat kementerian dan pegawai perhubungan awam mana-mana agensi atau jabatan kerajaan mahupun swasta yang mempunyai interaksi langsung bersama pengamal media," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram