AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad mendedahkan kes pecah rumah di Kampung Pajak, Kuala Pegang, Kedah semakin berleluasa.
Najmi berkata, individu yang melakukan jenayah tersebut menggunakan modus operandi sama iaitu menyasarkan mangsa yang tinggal bersendirian di rumah.
Katanya, ia selepas satu kejadian sama berlaku pada seorang warga emas tinggal bersendirian di lokasi sama pada Khamis.
BACA LAGI: Balai diserang, polis tingkat kawalan Istana Johor — Ketua Polis Negara
BACA LAGI: Balai polis diserang: Tiada CCTV, dua pelajar IPT, bapa suspek JI antara 7 ditahan
Ramlah yang menjadi mangsa kes pecah rumah pada Khamis. — Facebook/Najmi
"Dalam kejadian pukul tiga pagi, rumah Ramlah Jaafar, 66, dimasuki penjenayah melalui cermin tingkap bilik belakang.
"Empat kampit beras yang akan digunakan untuk kenduri arwah pada 23 Mei ini telah dicuri, penjenayah juga mencuri alat penimbang yang diletak di halaman luar rumah," katanya menerusi hantaran dimuat naik di Facebook pada Jumaat.
Najmi berkata, mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan manakala laporan polis berhubung kes itu juga sudah dilakukan.
Katanya, mangsa kini ditemani anaknya yang bekerja di luar Baling, Kedah buat sementara waktu ini.
"Saya telah menziarahi mangsa pada pagi ini dan menyumbangkan sedikit tunai dan bakul makanan bagi mengurangkan beban kepada Puan Ramlah," katanya lagi.
Beliau menambah, hasil maklum balas pihak Majlis Ketua Kampung Pajak, ia merupakan kes kecurian ketiga yang berlaku.
"Dua kes melibatkan seorang jururawat dan warga emas pada bulan lepas. Masing-masing mengalami kerugian RM3,000 dan RM 800," tambahnya.
Justeru, Najmi mengharap penjenayah dapat ditangkap dan keselamatan penduduk diketatkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram