‘Jadi scammer tapi tetap solat’, ideologi kapitalisme semakin membinasakan umat Islam?


  • Bizz
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Ada masyarakat dunia yang sudah menolak ideologi kapitalisme yang hanya menguntungkan golongan kaya dan merugikan orang miskin. — Gambar Hiasan

KAPITALISME sebenarnya sudah lama menyusup dalam ekonomi Malaysia.

Kapitalisme menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah sistem ekonomi dan politik yang pemilikan harta benda, industri dan perniagaan lebih banyak bertumpu pada sektor swasta daripada kerajaan.

Syarikat-syarikat digalakkan bersaing antara satu sama lain untuk membuat keuntungan. Dalam kapitalisme, aktiviti ekonomi bergantung pada perdagangan dan keuntungan, manakala komponen produksi seperti modal, buruh, dan tanah diswastakan.

BACA LAGI: Boleh sampai bercerai jika ambil risiko suami isteri jadi bisnes ‘partner’

BACA LAGI: Tak kedekut ilmu bisnes, ikut rapat 5 anak muda, otai usahawan jika mahu sukses berniaga

Pasaran bebas, persaingan, dan pertumbuhan ekonomi yang pesat adalah ciri-ciri kapitalisme juga. Disinilah kaya bertambah kaya dan tidak kaya bertambah miskin.

Proses perubahan ekonomi berorientasikan kapitalisme bermula di Malaysia pada pertengahan abad ke-19 dan 20.

Ideologi kapitalisme bermula akibat daripada perubahan ekonomi, ia menyebabkan kuasa wang meresap masuk ke dalam masyarakat Melayu.

Kedah dan Johor adalah dua contoh ketara daripada ekonomi berasaskan kapitalisme ini. Pada akhir abad ke-19, Sultan Kedah mengajar masyarakat Cina cara menanam padi secara komersial di Kedah.

Pada pertengahan abad ke-19, pemerintah Temenggung, orang Arab Sayyid dan Cina berniaga di Johor dalam perniagaan, pertanian dan perlombongan.

Selain itu, masyarakat minoriti yang menjalin usaha sama ekonomi dengan komuniti imigran terdiri daripada golongan atasan masyarakat Melayu yang terdedah kepada ekonomi wang, sekali gus mendapat peluang dalam proses transformasi ke arah kapitalisme dan komersialisme.

— Photos by Lano Lan

Pada akhir abad ke-19, Sultan Kedah mengajar masyarakat Cina cara menanam padi secara komersial di Kedah. — Gambar Hiasan

Orang Arab dan India-Muslim menguasai perdagangan, perniagaan serta bidang kerjaya profesional. Masyarakat Melayu pula secara keseluruhan menghadapi kesukaran untuk mencapai dan menikmati sektor ekonomi kewangan ini. (Abdullah, 2015)

Dari satu sudut, ideologi dan praktis kapitalisme membawa faedah terhadap pembangunan Malaysia.

Menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), model kapitalisme Malaysia adalah unik di peringkat global. Walaupun tidak mengikut sepenuhnya model ortodoks, ia telah membuktikan keberkesanannya dan harus diteruskan.

Pengerusinya, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, menyatakan bahawa kapitalisme 'laissez-faire' British telah diubahsuai oleh Malaysia pada awal tahun 70-an untuk menyesuaikan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang menekankan pengagihan kekayaan.

Beliau menekankan dengan mengambil kira kejayaan DEB dalam menangani kemiskinan serta pengalaman Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi, model kapitalisme Malaysia perlu diteruskan.

Dari sudut lain, ekonomi berlandaskan kapitalisme menyebabkan industri hutang dan riba berleluasa.

Screenshot 2024-05-17 180043

Amalan riba adalah diharamkan dalam Islam.

Jabatan Mufti telah menyenaraikan tiga jenis riba iaitu Riba al-Fadl, Riba al-Nasiah dan Riba al-Yad, namun industri hutang ini masih makmur dan pelanggan terus ditipu dengan amalan ‘hidden charges’ (caj tersembunyi).

Caj-caj sebegini akhirnya akan memerangkap rakyat untuk membuat pinjaman kepada ceti atau ahlong kerana bebanan hutang yang tinggi.

Seperti yang dilaporkan media, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menguruskan lebih 50,000 kes ah long dan berjaya menyelesaikan lebih 15,000 kes dengan jumlah pemotongan bunga melibatkan nilai lebih RM200 juta.

Tambahan, jika seorang peniaga didapati bersalah berbohong dalam urusan jual beli, tiada apa tindakan dikenakan dan apabila dilaporkan, peniaga akan dihukum saman atau penjara atau kedua-duanya.

Tetapi jika tiada laporan dan tiada pemantauan, peniaga akan meneruskan cara perniagaan tersebut. Akibat yang paling teruk dari riba yang dihasilkan oleh industri hutang ini adalah inflasi iaitu harga barang mula meningkat tetapi kuasa membeli makin menurun.

Si kayangan berterusan senang, yang marhaen terus tersepit.

ahlong2

Masih ada masyarakat Malaysia yang terperangkap akibat meminjam wang dengan ahlong.

Bank mengenakan faedah kepada peminjam apabila menawarkan pinjaman. Lebih banyak pinjaman semakin rancak aktiviti ekonomi dan kadar inflasi bertambah.

Hubungan antara wang dan inflasi adalah kompleks dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Tetapi apa yang pasti menurut Profesor Mohd Nazari Ismail, memberikan hutang dan mengenakan faedah ke atas hutang kepada mereka yang memerlukan, serta mendapat keuntungan secara di atas angin, adalah riba.

Ideologi kapitalisme boleh mencetuskan berlakunya penindasan kepada rakyat Malaysia dalam kita tak sedar.

Rakyat mula terdesak untuk memenuhi keperluan hidup harian dan menanam pemikiran yang berorientasikan wang dalam kehidupan mereka.

Kerja mula menjadi tujuan utama dalam hidup, bukan lagi satu ibadah yang dilakukan untuk meraih redhaNya.

Sesetengah orang mula melibatkan diri dengan kegiatan jenayah dan memperoleh wang melalui sumber yang haram.

Scammers rely on social media to find victims.

Scammer sentiasa mencari ruang untuk menipu mangsa.

Dalam satu kajian yang dijalankan di IIUM Pagoh bertajuk ‘The scammer and the scammed’, sekumpulan mahasiswa telah menemu ramah seorang scammer (nama dirahsiakan bagi tujuan penyelidikan) yang berumur 20-an, yang mana dia mengaku melakukan scam melalui aplikasi ‘WhatsApp”.

Ini adalah cara dia mendapatkan rezeki untuk tujuan “survival”. Dia memberi alasan ia adalah keperluan untuk hidup dan pada masa yang sama beliau tidak meninggalkan sembahyang lima kali sehari.

Kajian ini mendedahkan bahawa ada individu menganggap tidak salah melakukan kemungkaran asalkan tidak meninggalkan solat.

Sebab itulah, aktiviti ekonomi di Malaysia sangat berbeza dengan cara Rasulullah. Rasulullah mengubah sistem ekonomi sesuai dengan ketentuan al- Quran.

Semua harta di dunia ini milik ALLAH dan ALLAH adalah pemilik segala harta. Kekayaan harta tidak boleh dimonopoli dalam semua bentuk - kartel, monopoli, termasuk riba dihapuskan. (Maghfiroh dan Caniago, 2020)

ALLAH berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188, tidak boleh kita mengambil harta orang lain dengan cara batil. Urusan timbang dalam jual beli seperti penetapan harga dan transaksi harus dijalankan dengan amanah tanpa sebarang penipuan.

Screenshot 2024-05-17 175508

Ideologi kapitalisme tidak sesuai untuk ekonomi orang Islam.

ALLAH berfirman dalam surah al-Isra ayat 35, untuk menyempurnakan timbangan secara adil. Menurut Tamuri (2021) pula, masjid bukan sahaja tempat untuk beribadah, masjid adalah pusat pendidikan dan penghakiman.

Jika berlaku penipuan dalam urusan jual beli, peniaga dihantar ke masjid untuk diadili, dididik dan tidak boleh meneruskan perniagaan sehingga mereka mengamalkan cara yang dibenarkan Quran. Nabi sendiri melakukan pemantauan di pasar dan tempat awam, agar apa yang dipelajari diamalkan.

Akhir kata, model kapitalisme yang diamalkan selama ini, benarkah membangun masyarakat atau membawa kita ke lembah kebinasaan?

Perlu diingatkan duit ialah rezeki yang dikurniakan oleh ALLAH. Kebergantungan terhadap wang boleh mengubah diri menjadi hamba wang, yang boleh menyebabkan syirik kepada ALLAH kerana berlakunya ciri menduakan ALLAH.

Betulkanlah niat dan cara mencari wang untuk berlaku adil terhadap diri dan orang lain. Dengan izinNya yang berdasarkan peraturanNya, rezeki akan lebih mudah diperoleh dan diberkati, olehNya. — Majoriti

Haziq Danial Aizad merupakan Mahasiswa IIUM Pagoh, menyumbang penulisan untuk Kursus UNGS 2290, Knowledge and Civilisation.

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti.*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram