GERAKAN Jemaah Islamiyah (JI) di negara ini masih lagi dalam keadaan terkawal, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Memetik laporan Sinar Harian, Saifuddin mengatakan yang pihak kerajaan mempunyai informasi yang mencukupi berkenaan gerakan tersebut untuk memastikan siasatan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram berjalan lancar.
Hal ini disebabkan terdapat dakwaan mengatakan gerakan tersebut mempunyai kaitan berkenaan serangan tersebut yang mengorbankan dua anggota polis.
BACA LAGI: Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar serta Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said
BACA LAGI: Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram bawa 'shield', mahu rampas senjata api — KPN
"Pangkalan data kita memadai untuk menguruskan insiden sebegini dan kita mempunyai latar belakang mereka yang terlibat dalam apa pun kegiatan atau pernah ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 2012 (SOSMA).
"Pendekatan polis adalah terus berinteraksi dengan mereka bagi memastikan proses rehabilitasi berjalan serta tidak menjadi ancaman kepada masyarakat.
"Alhamdulillah (gerakan) JI ini masih terkawal dan saya percaya pasukan polis mempunyai pengalaman untuk menguruskan (kejadian yang sama di Balai Polis Ulu Tiram) berdasarkan pangkalan data, pola dan corak sesuatu itu berlaku," ujar Saifuddin.
Dalam masa yang sama, Saifuddin meminta agar pihak polis diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan berkenaan perkara ini. Dia juga meminta agar tiada laporan yang dikaitkan dengan agama.
Dalam pada itu, tujuh individu termasuk seorang warga Singapura direman selama seminggu untuk membantu siasatan serangan tersebut.
Kejadian balai polis diserang ini telah mengorbankan dua nyawa anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar serta Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.
Jenazah kedua-dua pegawai polis itu dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor untuk disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir.
Selepas itu, kedua-dua jenazah akan dihantar ke kampung halaman masing-masing iaitu Bidor, Perak serta Kuantan, Pahang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram