JIKA dahulu golongan berusia lebih memilih untuk berehat di rumah bersama anak dan cucu tanpa perlu memikirkan masalah di tempat kerja, situasi agak berbeza ketika ini.
Di beberapa kawasan khususnya di bandar-bandar besar, ramai dalam kalangan tersebut yang masih gigih bekerja mencari nafkah biarpun usia sudah menjangkau 60 tahun ke atas.
Melihat perkembangan ini, timbul persoalan sama ada Malaysia akan mengikut jejak langkah Jepun, yang mana kebanyakan penduduk berstatus warga emas di negara Matahari Terbit itu masih bekerja seperti biasa.
BACA LAGI: Boleh sampai bercerai jika ambil risiko suami isteri jadi bisnes ‘partner’
BACA LAGI: Tak kedekut ilmu bisnes, ikut rapat 5 anak muda, otai usahawan jika mahu sukses berniaga
Kebanyakan warga emas yang masih gigih bekerja mencari nafkah biarpun usia sudah menjangkau 60 tahun ke atas.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, pensyarah dalam bidang pembangunan sumber manusia dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Zumrah berpandangan, dalam aspek itu, beliau tidak melihat kemungkinan Malaysia akan menjadi seperti Jepun.
Menurut beliau, secara umumnya budaya di Malaysia, warga emas akan mendapat pembiayaan dan jagaan oleh anak masing-masing yang sudah berkerjaya.
"Malah pada usia warga emas, keperluan asasi kehidupan seperti rumah kediaman, makan minum, kenderaan telah dipenuhi.
"Ditambah dengan pendapatan daripada sumber pencen dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak memungkinkan warga emas bekerja hingga lanjut usia.
"Selain itu, polisi pengambilan pekerja di negara ini sama ada sektor awam mahupun swasta yang menghadkan pengambilan pada umur tertentu juga akan menjadi halangan untuk warga emas bekerja," katanya kepada Majoriti.
Abdul Rahim dalam pada itu turut menyenaraikan empat implikasi yang perlu ditanggung majikan sekiranya semakin ramai warga emas yang bekerja di usia lanjut.
1. Produktiviti kerja
Abdul Rahim
Sudah menjadi lumrah kehidupan, seiring peningkatan usia, semakin banyak penyakit yang akan menyerang diri anda.
Ia pastinya akan memberi kesan pada aspek produktiviti kerja seseorang.
Tahap kesihatan dan keupayaan fizikal warga emas umumnya semakin rendah sama ada dalam aspek penglihatan, pendengaran, mental dan emosi, sekali gus akan menjejaskan produktiviti kerja.
2. Liabiliti majikan meningkat
Liabiliti majikan berkemungkinan akan meningkat untuk membiayai kos perubatan kakitangannya yang semakin lanjut usia.
Isu-isu lain seperti kekerapan mengambil cuti sakit dan cuti kecemasan turut akan dihadapi oleh majikan yang mengambil warga emas sebagai pekerja.
3. Komitmen kerja
Majikan terpaksa membiayai kos perubatan kakitangannya yang semakin lanjut usia.
Secara amnya, liabiliti golongan emas seperti hutang perumahan, kenderaan dan persekolahan anak-anak sudah tiada.
Kesannya, perspektif warga emas terhadap pekerjaan hanya semata-mata ingin mendapatkan pendapatan tambahan.
Justeru tidak mustahil ada masa tertentu mereka akan menjadi agak berkira jika diberikan kerja tambahan atau tugas secara ad-hoc .
Ini kerana bagi kebanyakan mereka, aspek pembangunan kerjaya bukan lagi menjadi keutamaan pada waktu itu.
4. Kualiti perkhidmatan organisasi
Golongan berusia sebelum ini lebih memilih untuk berehat di rumah tanpa perlu memikirkan masalah di tempat kerja. — Gambar hiasan
Organisasi akan berhadapan dengan cabaran untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan sedia ada.
Ini kerana faktor usia lanjut akan menghadkan pergerakan dan maklum balas secara fizikal terhadap keperluan pelanggan.
Keterampilan diri secara fizikal dalam kalangan rakyat yang lanjut usia juga sedikit sebanyak boleh memberi kesan terhadap imej dan persepsi pelanggan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram