Polis sahkan pembunuhan peniaga di Kapar ada kaitan geng kongsi gelap


  • 112
  • Rabu, 15 Mei 2024

Mangsa yang ditemui mati dalam keadaan meniarap dipercayai dibunuh di hadapan bilik tidurnya pada April lalu.

POLIS mengesahkan kes melibatkan seorang peniaga maut dibunuh sekumpulan lelaki berparang di sebuah rumah dekat Taman Jaya, Kapar, Selangor pada April lalu mempunyai kaitan dengan aktiviti kongsi gelap.

Memetik laporan Kosmo!, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya berjaya menangkap dua individu sementara dua lagi masih dikesan.

Katanya, seorang daripadanya didakwa di bawah Akta Pertubuhan.

BACA LAGI: Kes bunuh Kapar: Polis tahan 2 lelaki tempatan bantu siasatan, kenal pasti saksi baharu

BACA LAGI: Peniaga mati tertiarap, CCTV rakam 4 lelaki bersenjatakan parang dan pistol taser pecah masuk rumah

2667908

Tangkap layar CCTV memaparkan empat lelaki dikesan masuk ke rumah berkenaan dengan bersenjatakan parang dan pistol taser.

"Insiden itu, saya boleh katakan melibatkan aktiviti kongsi gelap. Kita sedang mengesan dua lagi suspek yang telah dikenalpasti bagi membantu kes tersebut.

"Pengesanan dua suspek itu akan dilakukan sama ada dia masih dalam negeri atau luar negara," katanya pada Rabu.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao memaklumkan, dua individu yang ditangkap masing-masing berumur 25 dan 28 tahun.

Majoriti sebelum ini melaporkan, mangsa berusia 38 tahun ditemui mati dalam keadaan meniarap dipercayai dibunuh di hadapan bilik tidurnya.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seramai empat orang lelaki dikesan masuk ke rumah berkenaan dengan bersenjatakan parang dan pistol taser.

Menurut Vijaya, hasil siasatan awal mendapati, terdapat kesan tetakan pada kepala, kedua belah kaki, bahu dan tangan kanan mangsa.

Katanya, motif awal setakat ini juga dipercayai berpunca akibat dendam namun siasatan lanjut masih dijalankan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram