[VIDEO] Anak habis SPM kritikal di ICU, ibu cari saksi nahas langgar lari lori melulu masuk simpang di Pasir Gudang


  • Tular
  • Khamis, 16 Mei 2024

Tangkap layar video memaparkan mangsa yang dilanggar pemandu lori di simpang jalan di Pasir Gudang, Johor pada 11 Mei lalu.

SEORANG wanita meminta bantuan orang ramai mencari saksi kemalangan melibatkan anaknya yang dilanggar lari oleh pemandu lori di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) Pasir Gudang, Johor pada 11 Mei lalu.

Menerusi video dimuat naik di Facebook Adam Wong Jr pada Khamis, pemandu lori tersebut berlalu pergi selepas kejadian yang berlaku sekitar 4.30 petang itu.

Dalam video itu, kelihatan pemandu lori terbabit secara melulu memasuki simpang sebelum bertembung dengan mangsa yang menunggang motosikal ketika itu.

BACA LAGI: Atlet kayak Malaysia parah diseret 600m pemandu mabuk di Lebuhraya EDL

BACA LAGI: Resort premium khas sesuai jadi 'syurga' warga emas, golongan enggan beli rumah sampai bila-bila

Mangsa kemudiannya dilihat tercampak dan terbaring di bahu jalan.

Menurut ibu mangsa yang tidak mahu didedahkan identitinya, anaknya berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selepas kejadian.

Dia bagaimanapun memberitahu anaknya berusia 17 tahun yang merupakan lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin stabil dan baru sahaja dipindahkan ke wad biasa pada Rabu malam.

Katanya, mangsa juga cedera parah di tangan dan kaki yang mana jari kelingking serta kaki kiri patah.

"Anak saya buat masa sekarang sudah sedarkan diri tetapi masih belum boleh bercerita tentang kejadian itu.

"Kemalangan itu juga berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah," katanya kepada Majoriti.

Justeru, dia meminta kerjasama saksi yang lihat kemalangan di sekitar kawasan itu untuk menyampaikan mesej kepadanya atau pergi ke balai polis terdekat.

Setakat ini, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram