TANGGAL 16 Mei merupakan tarikh keramat bagi menghargai dan menyanjung tinggi jasa guru yang telah menabur bakti sejak sekian lamanya.
Pastinya kita terus terkenang dengan susuk individu yang pernah mencurah ilmu demi membimbing kita menjadi insan yang berguna.
Selaku seorang guru pemulihan khas, Premlatha Samurgam percaya bahawa kanak-kanak yang memiliki masalah kesulitan pembelajaran juga berpotensi untuk berjaya sama seperti rakan sebaya mereka.
BACA LAGI: Peniaga jus kurkumin diangkat jadi Ikon Usahawan OKU Selangor edisi ke-5
Premlatha Samurgam (kiri) percaya bahawa kanak-kanak yang memiliki masalah kesulitan pembelajaran juga berpotensi untuk berjaya.
"Jika kanak-kanak menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), mereka juga ada peluang masuk semula ke kelas perdana untuk bersama murid biasa yang lain.
"Melainkan isu-isu lain seperti kecacatan fizikal atau IQ (tahap kecerdasan seseorang) terlalu rendah," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, murid-murid yang memiliki potensi untuk dipulihkan akan diberi ruangan kursus bagi membolehkan guru-guru memantau mereka dengan sepenuhnya.
"Kita kena pandai menilai murid itu suka ke arah mana minat mereka kerana setiap murid kelebihan berbeza-beza.
"Kalau murid suka hiburan kena terapkan hiburan kepada dia, kalau minat lebih permainan, kena (banyakkan) ke arah permainan.
"Contohnya, ada seorang pelajar apabila korek rahsia daripadanya, rupanya dia minat bela lembu seperti pak cik dia. Jadi bila bercakap pasal perkara itu, dia akan pandai mengenai hal-hal berkaitan itu," katanya.
Guru perlu pandai menilai seseorang kerana setiap murid memiliki kelebihan berbeza-beza.
Sanggup berkorban demi anak murid tercinta, Premlatha juga rela mengambil dan menghantar anak muridnya ke sekolah bagi membolehkan mereka menerima pendidikan yang secukupnya.
"Sewaktu cuti persekolahan ada tanya murid-murid jika mereka berminat untuk ikuti program-program seperti kelas tambahan.
"Ada murid yang kadang-kadang ibu bapa mereka memiliki kesibukan yang menyukarkan mereka untuk bergerak ke sekolah.
"Jadi saya akan ambil dan hantar mereka kerana melihat kesungguhan kanak-kanak itu untuk mengikuti pembelajaran yang mahu diadakan," katanya.
Sebelum ini, wanita berusia 44 tahun itu bertugas di Sekolah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor selama beberapa tahun.
Selepas itu, dia berpindah ke Kedah atas urusan keluarga dan berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Permatang Tiong, Kulim, Kedah.
Pernah berkhidmat di kawasan bandar dan luar bandar, cikgu berbangsa India itu dapat melihat perbezaan dari sudut pendidikan yang diperoleh kanak-kanak di bandar dan juga di luar bandar.
"Kadang-kadang di luar bandar murid mengalami masalah tiada rangkaian telefon yang menyukarkan berkomunikasi secara dalam talian, selain faktor kemiskinan.
"Kita juga menekankan AI (penggunaan kecerdasan buatan) selaras dengan tema hari guru iaitu Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani," katanya.
Cikgu yang fasih berbahasa Melayu itu juga berharap agar ibu bapa di luar sana memiliki kesedaran mengenai masalah kesukaran belajar dalam kalangan kanak-kanak supaya dapat mengatasi hal itu sejak kecil.
"Kadang-kadang ada ibu bapa yang tidak boleh terima bila tahu anak mereka ada masalah kesukaran belajar.
"Tetapi kalau ibu bapa bekerjasama dengan pihak sekolah maka peluang kejayaan anak-anak ini akan semakin cerah," katanya.
Premlatha turut berharap agar ibu bapa tidak membandingkan di antara seseorang anak dengan anak yang lain.
"Sebagai guru pemulihan khas, kita akan bimbing supaya ibu bapa beri peluang kepada anak-anak dan nasihatkan agar tidak membanding-bandingkan.
"Ibu bapa juga perlu lebih bersabar kena pandai rancang untuk tarik minat pelajar," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram