Pengeluaran Akaun 3 minimum RM50 sehari, lebih RM250 perlu proses e-KYC


  • Bizz
  • Ahad, 12 Mei 2024

KWSP mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menetapkan had pengeluaran maksimum wang daripada Akaun Fleksibel atau Akaun 3 secara terus sebanyak RM 250 sehari.

Menerusi aplikasi KWSP i-Akaun yang dikemas kini, pencarum hanya boleh membuat pindahan wang ke akaun bank sekali sehari dengan minimum RM50.

Bagi pengguna yang berhasrat mengeluarkan wang lebih RM250, ia perlu melalui proses e-KYC secara dalam talian.

Mereka juga boleh menggunakan alternatif lain seperti mengunjungi pejabat KWSP terdekat bagi pengesahan cap jari.

BACA LAGI: Elak berhutang, penjawat awam boleh guna Akaun Fleksibel KWSP jadi tabung kecemasan — Cuepacs

BACA LAGI: 'Mana duit KWSP pekerja?', guru tadika berprestij dakwa majikan tak bayar caruman

Proses e-KYC adalah 'electronic Know-Your-Customer' atau satu proses pengesahan identiti secara elektronik melalui teknologi pengecaman wajah di aplikasi KWSP i-Akaun.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata, semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan, iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel.

"Tempoh antara 11 Mei dan 31 Ogos, ahli KWSP akan mempunyai pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelum ini Akaun 2) sebagai jumlah permulaan kepada Akaun Fleksibel," kata dana persaraan itu.

Ahli KWSP hanya boleh memilih untuk membuat pemindahan amaun awal ke Akaun Fleksibel bermula dari tarikh berkuat kuasa sehingga 31 Ogos dan penyertaan selepas itu tidak boleh dibatalkan.

Simpanan dalam Akaun Fleksibel iaitu 10 peratus daripada caruman setiap bulan itu, boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Namun, bagi pencarum yang ingin mengeluarkan simpanan dalam Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan diletakkan di dalam Akaun Fleksibel, mereka boleh berbuat demikian dengan menggunakan aplikasi i-Akaun.

Bagaimanapun, tidak semua wang dalam simpanan Akaun Sejahtera itu boleh dipindahkan kerana ia tertakluk kepada perkiraan tertentu.

Pencarum dibenarkan membuat pemilihan bagi pindahan akaun hanya sekali sahaja dalam tempoh bermula hari ini sehingga 31 Ogos ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram