DBKL kenal pasti lebih 100 pokok berusia berisiko tinggi, garis panduan baharu siap Julai


  • Primer
  • Jumaat, 10 Mei 2024

Garis panduan baharu itu dijangka siap pada Julai depan susulan kejadian pokok tumbang berhampiran Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Selasa lepas. — Facebook

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti sebanyak 175 pokok berisiko tinggi yang mana sebahagian besarnya berusia lebih 50 tahun, dengan 147 daripada pokok terbabit sudah ditebang.

Pihaknya juga sedang menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu yang memfokus aspek pokok berusia dan berisiko tinggi di ibu negara.

DBKL memaklumkan, garis panduan baharu itu dijangka siap pada Julai depan namun, pihaknya akan terus menjalankan kerja-kerja pemantauan terhadap pokok berisiko dengan mengambil kira aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

BACA LAGI: Akar rapuh mungkin jadi punca, DBKL diarah pantau pokok tua di KL

BACA LAGI: Insiden pokok tumbang KL: Seorang maut, 17 kenderaan rosak

2681733

Kejadian pokok tumbang itu juga menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu. — Facebook

"DBKL menerusi kontraktor yang dilantik telah menjalankan pemeriksaan ke atas pokok berusia lebih 30 tahun atau yang mempunyai ukur lilit lebih 1.5 meter di sekitar Kuala Lumpur sejak 2019.

"Pemeriksaan berkala telah dilaksanakan oleh arboris bertauliah. Pemeriksaan terakhir ialah pada Februari 2024, dengan 28 pokok dikenal pasti akan ditebang dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pokok berisiko merujuk pokok yang berpotensi tinggi mengalami kegagalan struktur serta tumbang, manakala penilaian risiko pokok pula dilakukan dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak.

"Jika keadaan pokok didapati tidak memuaskan, penilaian lanjut diikuti dengan tindakan mitigasi seperti cantasan, rawatan akar atau penebangan pokok, akan dilaksanakan," katanya lagi.

Mengambil maklum tentang kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Selasa lalu, DBKL menzahirkan dukacita dan mengucapkan takziah kepada semua mangsa yang terlibat.

"Bagi mangsa terbabit, DBKL akan membantu untuk memudah cara apa-apa tuntutan kepada pihak yang sewajarnya, dengan mereka boleh menghubungi talian 03-2617 9509 (Jabatan Kewangan) atau 03-2617 9236 (Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan)," katanya.

Terdahulu pada Selasa, insiden mengorbankan nyawa seorang lelaki dan menyebabkan dua individu cedera itu berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang.

Pokok tersebut juga jatuh dan menghempap sebanyak 17 kenderaan serta landasan Monorel di lokasi berkenan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram