Kereta Safiq Rahim tak pasang dashcam, lokasi kenderaan kena pecah tiada CCTV — Polis


  • 112
  • Rabu, 08 Mei 2024

Keadaan cermin belakang kereta milik Safiq yang pecah selepas diserang dua lelaki tidak dikenali pada Selasa malam.

LOKASI kejadian serangan melibatkan pemain Johor Darul Takzim (JDT) di Johor Bahru, Johor pada malam Selasa tidak memiliki kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya ketika ini masih sedang mencari saksi kejadian yang boleh membantu siasatan kes terbabit.

Ujarnya, kereta dipandu pemain terbabit juga tidak dilengkapi dengan kemudahan kamera papan pemuka atau dashcam.

BACA LAGI: Bimbang keselamatan pemain selain Faisal Halim terancam, Selangor mohon tunda Piala Sumbangsih

BACA LAGI: Masukkan dalam kontrak, kelab wajib sediakan 'bodyguard' buat pemain bintang

"Kenderaan mangsa didapati tidak dipasang 'dashcam'. Begitu juga, pemeriksaan mendapati tiada CCTV di kawasan kejadian berlaku.

"Namun polis giat mengesan saksi dan setakat ini belum ada yang dipanggil," katanya dalam satu kenyataan.

1931484

Safiq Rahim

Raub berkata, polis ketika ini masih sedang menyiasat motif serangan terhadap pemain tersebut.

Ujarnya, berdasarkan laporan polis diterima, insiden tersebut berlaku sekitar pukul 10.05 malam Selasa berhampiran tempat latihan JDT di pusat bandar raya Johor Bahru.

"Mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan dengan kerosakan pada cermin bahagian belakang kereta yang dipecahkan suspek," ujarnya.

Beliau berkata, kes serangan itu disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, Raub turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan.

Pada Selasa, Safiq merupakan pemain bola sepak ketiga yang menjadi mangsa serangan jenayah dalam sejak enam hari lalu.

Dua lagi pemain tonggak skuad kebangsaan Akhyar Rashid dan Faisal Halim yang masing-masing tercedera akibat serangan dalam dua kejadian berasingan masing-masing pada Khamis dan Ahad lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram