Kereta kena pecah, Safiq Rahim pemain bola ke-3 jadi mangsa jenayah


  • Tular
  • Rabu, 08 Mei 2024

Keadaan cermin belakang kereta Safiq yang pecah akibat serangan yang berlaku pada Selasa malam.

BEKAS pemain Harimau Malaya, Safiq Rahim menjadi individu terbaharu menjadi sasaran serangan jenayah melibatkan pemain bola sepak negara yang berlaku pada minggu ini.

Menerusi satu hantaran di media sosial, kereta milik pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu dilaporkan dipecahkan dengan tukul besi oleh dua individu tidak dikenali.

Ketika kejadian, dia dikatakan sedang hendak pulang ke rumah selepas menjalani latihan di Pusat Latihan JDT Sri Gelam, Johor Bahru, Johor, kira-kira pukul 10 malam Selasa.

BACA LAGI: Bimbang keselamatan pemain selain Faisal Halim terancam, Selangor mohon tunda Piala Sumbangsih

Tangkap layar gambar laporan polis dibuat Safiq pada Selasa turut tular di media sosial.

Difahamkan semasa berada di Jalan Sri Gelam untuk menghala ke Pantai Lido, kereta jenis Honda City dipandu Safiq dihampiri motosikal dinaiki dua lelaki.

Berdasarkan laporan tersebut, pembonceng motosikal terbabit kemudiannya mengeluarkan tukul besi sebelum mengetuk cermin bahagian belakang kereta terbabit.

Dua lelaki terbabit kemudiannya berhenti dan menunjukkan tukul ke arah Safiq yang seterusnya mengambil keputusan mengundurkan kereta sebelum beredar dari lokasi kejadian.

BACA LAGI: ISN akan pastikan Faisal Halim kembali bermain bola sepak, tanggung kos pemulihan sepenuhnya

Laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Larkin, kira-kira pukul 11 malam Selasa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata, polis sedang memburu suspek yang terlibat dalam insiden tersebut.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, dua pemain bola sepak negara, Akhyar Rashid dan Faisal Halim menjadi mangsa serangan jenayah yang mengakibatkan kecederaan masing-masing pada Khamis dan Ahad lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram