MALANG tidak berbau nasib menimpa penyerang sayap kebangsaan, Faisal Halim selepas menjadi mangsa simbah asid di sebuah pusat beli-belah dekat Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Ahad lalu.
Ketika kejadian, tonggak Selangor FC itu difahamkan sedang meluangkan masa bersama keluarganya sebelum dihampiri dua individu bermotosikal tidak dikenali yang bertindak menyimbah asid kepadanya.
Susulan perbuatan khianat tersebut, pemain berusia 26 tahun berkenaan dilaporkan mengalami kelecuran tahap empat dengan saraf dan tulang merupakan organ yang terkesan daripada serangan itu.
BACA LAGI: Kenapa nak tutup mulut Faisal Halim semata-mata jadi jujur?'
BACA LAGI: Lagi suspek ditahan, tangan kiri Faisal Halim tiada reaksi, percakapan terbatas
Menurut laporan perubatan, kelecuran pada tahap terbabit akan menyebabkannya kehilangan rasa sakit sehingga membuatkan pergerakannya terhad dan percakapan pemain kebangsaan itu turut terbatas akibat kecederaan dialami.
Rentetan masalah yang menimpa Faisal itu, penyokong sudah membangkitkan segala kemungkinan termasuk kebarangkalian anak jati Pulau Pinang tersebut terpaksa melupakan karier dalam dunia bola sepak meskipun berjaya menerima rawatan terbaik.
Langit tidak selalunya mendung buat Faisal kerana ramai optimis tonggak berperwatakan cerita berkenaan mampu bangkit seperti pemain lain yang pernah mengalami insiden trauma sebelum ini.
Walaupun alur cerita Faisal dan pemain lain berbeza namun kisah kebangkitan mereka boleh menjadi iktibar buat bekas tonggak Sri Pahang itu kembali menghidupkan kariernya meskipun mengambil masa lama.
1) Syafiq Ahmad
Syafiq difahamkan tertidur ketika sedang memandu.
Kira-kira empat tahun lepas, penyerang kebangsaan Syafiq Ahmad terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Kilometer 163.6 arah utara, dekat Sungai Bakap, Nibong Tebal, Kedah pada Disember 2020.
Lebih pilu, kemalangan berkenaan turut mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari selain wanita warga tempatan yang dipercayai ibu mentuanya iaitu Zainab Wahab, 45, dan warga Indonesia Titik Sukamti, 30-an.
Manakala, Syafiq dan seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya ketika itu difahamkan mengalami cedera ringan namun isterinya iaitu Nur Amalina Nur Ain dilaporkan cedera parah.
Selepas kira-kira tiga bulan mengasingkan diri dari dunia bola sepak, Syafiq kembali beraksi bersama Harimau Selatan dan dia juga antara watak utama membantu Harimau Malaya untuk pusingan ketiga peringkat kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Walaupun karier Syafiq ada pasang surutnya namun pemain itu tidak pernah berhenti dan tahun ini dijangka menjadi musim terbaik penyerang berusia 28 tahun tersebut apabila dia dijangka akan menjadi taruhan utama bahagian serangan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
2) Razman Roslan
Rumah Razman selepas kejadian tembakan rambang sehingga memecahkan cermin belakang kenderaan MPV jenis Toyota Vellfire, di Lorong 35 Kubang Buaya, Kuantan.
Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan mengalami kejadian antara diingati apabila kediamannya di Lorong Kubang Buaya 35, Kuantan, Pahang dipercayai ditembak kira-kira lima das oleh individu tidak dikenali.
Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu pada Mac 2015 berlaku apabila Razman bersama keluarganya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan di luar kediamannya hingga menyebabkan cermin belakang MPV Toyota Vellfire milik bapa mentua pemain berkenaan pecah.
Ada dakwaan mengaitkan ia berkaitan dengan ancaman bookie bola sepak, namun tiada sebarang bukti yang mengesahkan perkara berkenaan. Tidak kurang juga ada bunyi-bunyi mengatakan kelantangan kapten Pahang itu mendatangkan ketidakpuasan hati pihak tertentu.
Berdepan episod ngeri itu memaksa jurulatih Pahang ketika itu, Datuk Zainal Abidin Hassan merehatkan Razman dan kira-kira selepas dua minggu pemain berkenaan kembali beraksi untuk skuad Tok Gajah.
Walaupun sehingga kini tiada seorang pelaku pun ditangkap, bekas pemain Selangor FC itu masih aktif di industri bola sepak dengan menjadi pundit Astro Arena dan bertugas sebagai ketua jurulatih Kelana United FC.
3) Rozaimi Abdul Rahman
Keadaan kenderaan milik Rozaimi yang terbabit dengan kemalangan di Likas pada 2015.
Ketika kemunculan Rozaimi Abdul Rahman di arena bola sepak tanah air, ramai penyokong teruja dengan bakat yang ada pada pemain kelahiran Papar Sabah tersebut dek kerana kelincahan serta ketajamannya di pintu gol.
Potensinya cukup menarik dan itu terbukti apabila bersama skuad Harimau Muda, Rozaimi menjaringkan 19 gol dalam 22 penampilan. Dia juga pernah diberikan jolokan 'Neymar Malaysia' dek kerana gerakan lincahnya seakan bintang Brazil tersebut.
Namun, perjalanan karier Rozaimi terbantut apabila dia mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2015. Sejak daripada itu, ia merupakan satu perjalanan panjang buat penyerang tersebut dalam usaha kembali pulih dan tajam.
Kini pada usia 31 tahun, usaha tersebut masih lagi diteruskan dan segala inisiatif yang dilakukannya tampak membuahkan hasil apabila dia kini kembali ke Liga Malaysia dengan menjadi sebahagian pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) Sabah FC.
Rozaimi yang dilantik menjadi ikon atau senior berpengalaman itu membuktikan ketajamannya apabila menjaringkan tiga gol ketika membantu Sabah B-23 membelasah kelab amatur tempatan, Sulaman FC dengan keputusan 7-4 pada aksi pramusim baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram