Dasar Pengurusan Bencana Negara disemak semula — Ahmad Zahid


  • Primer
  • Selasa, 07 Mei 2024

Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Monsun Timur Laut di WTC Kuala Lumpur pada Selasa.

BAGI meningkatkan daya tahan, mengukuhkan kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia dalam menguruskan bencana, Jemaah Menteri bersetuju supaya Dasar Pengurusan Bencana Negara disemak semula sekali gus memastikan ancaman bencana berada pada tahap minimum.

Demikian kataTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang di peringkat akhir proses semakan semula Arahan MKN No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara agar selari dengan keperluan dan evolusi pengurusan bencana yang semakin kompleks.

"Pindaan Arahan MKN No.20 dijangka akan memantapkan lagi pengurusan, lebih-lebih lagi ia merupakan dokumen rujukan utama dalam koordinasi dan mekanisma pengurusan bencana negara," katanya pada Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Monsun Timur Laut 2023/2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada Selasa.

BACA LAGI : Satu famili terperanjat, tetamu misteri selamba lena atas sofa rumah di Kerian

BACA LAGI : [VIDEO] Anak penjual daging kambing bunuh, kerat isteri dedah suspek terbeban masalah kewangan — Polis

1434920

Dasar tersebut diperkemaskan bagi kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia dalam menguruskan bencana. — Gambar hiasan/The Star

Ahmad Zahid pada masa sama berkata, kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang dikelolakan Nadma bersetuju menyediakan peruntukan awal berjumlah RM5 juta untuk digunakan agensi atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pengurusan bencana.

Katanya, pihak Nadma juga akan memperincikan dan memaklumkan syarat-syarat dan kaedah permohonan peruntukan itu dalam masa terdekat.

"Dasar khusus dalam mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana sedang digubal melalui Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara (DRR).

"Dasar di peringkat akhir penggubalan ini akan menjadi dokumen utama yang menggariskan hala tuju Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya tahan bencana, merangkumi semua sektor termasuk ekonomi, alam sekitar, sosial, keselamatan dan lain-lain," katanya lagi.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya sedang memperkemaskan pengiktirafan pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) sebagai Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG).

Menurutnya, pengiktirafan itu adalah penting dalam melayakkan pasukan Smart menjadi badan akreditasi bagi melatih pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) lain di dalam dan luar negara mengikut piawaian antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram