Tiada peruntukan tahanan rumah bawah perundangan negara? Pakar minta Menteri KDN beri had kuasa dimiliki


  • Massa
  • Rabu, 01 Mei 2024

Najib bertindak melakukan semakan kehakiman memohon mahkamah mengarahkan menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan dan beberapa lagi responden mengesahkan titah tambahan dipercayai berkaitan dengan kemudahan tahanan rumah yang diberikan kepadanya.

SEJAK awal April lalu, isu pengampunan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kembali menghangatkan suhu politik tanah air.

Ia selepas Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan mendakwa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini memberikan perintah tambahan dalam pengampunan tambahan ketika memberikan pengampunan terhadapnya.

Najib sebelum itu diberikan pengampunan dengan mendapat pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, dengan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Dilaporkan, titah tambahan pengurangan hukuman bagi membolehkannya untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Susulan daripada itu, Najib bertindak melakukan semakan kehakiman memohon mahkamah mengarahkan menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan dan beberapa lagi responden mengesahkan titah tersebut.

Bagaimanapun, perkembangan tersebut dilihat turut menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengamal undang-undang mengenai sama ada wujudnya kelonggaran untuk banduan di Malaysia untuk menjalani hukuman dengan cara tahanan di rumah.

Ini kerana terdapat sesetengah pihak termasuk pengamal undang-undang berpandangan bahawa bentuk hukuman tersebut sebenarnya tidak terdapat dalam perundangan di dalam negara.

Antara yang berkongsi pandangan tersebut ialah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

"Tahanan rumah adalah perintah yang menyalahi undang-undang. Ia tidak wujud di bawah undang-undang kita.

"Ia tiada dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan atau Akta Penjara. Ia bertentangan dengan kedaulatan undang-undang," ciapnya di laman X baru-baru ini.

BACA LAGI: Percutian ke Taiwan hadiah paling bermakna buat 2 pemenang Kempen Majoriti Langgan dan Menang

Mengulas mengenai perkara tersebut, Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood mengakui terdapat perbezaan pendapat berhubung kewujudan kemudahan hukuman sedemikian.

Bagaimanapun, beliau sebaliknya berpandangan terdapat peruntukan serupa di dalam Akta Penjara 1995 khususnya berkaitan pembebasan berlesen yang dilihat serupa dengan bentuk hukuman tahanan rumah.

Seksyen 43 Akta Penjara 1995 (Akta 537) dan Peraturan 111 dalam Peraturan-Peraturan Penjara 2000 memperuntukkan seseorang boleh dikenakan tahanan rumah di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).

Namun, di bawah program PBSL, banduan yang dibenarkan menjalani tahanan rumah adalah membabitkan pesalah kesalahan kecil iaitu golongan yang dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan ke bawah.

Dalam pada itu, Seksyen 3 Akta Penjara turut menyatakan bahawa juga mempunyai kuasa untuk mewartakan mana-mana tempat antaranya rumah, bangunan atau kepungan sebagai penjara.

"Ramai tahu yang akta penjara membolehkan menteri membuat perintah tahanan di rumah selepas rumah tersebut diwartakan di bawah akta itu.

"Jadi untuk mengatakan bahawa tahanan di rumah tidak dibenarkan, ia menafikan kuasa undang-undang yang diberi kepada menteri," katanya ketika dihubungi Majoriti.

BACA LAGI: Dua pemenang baucar AEON RM25,000 mahu belanja keluarga, beli peti ais baharu

2647151

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, beliau berpendapat menteri bertanggungjawab seharusnya memberikan penjelasan berhubung had kuasa yang dimilikinya bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul dalam isu tersebut.

"Menteri perlu menjelaskan kuasa beliau untuk mewartakan sesebuah rumah sebagai tempat tahanan di bawah akta penjara," kata beliau

Untuk rekod, penjara berada di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang ketika ini dipimpin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Dalam perkembangan terbaharu berhubung isu tersebut, Mahkamah Tinggi pada Selasa menetapkan Khamis depan bagi mendengar permohonan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk memfailkan afidavit dalam kes dikemukakan Najib Razak berkait kewujudan ‘perintah tambahan’ penahanan rumah.

Terdahulu, Zafrul dalam satu kenyataan berkata, beliau mahu memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung tahanan rumah Najib.

Katanya, pendirian memfailkan afidavit itu yang dibuat selepas mendapat nasihat undang-undang bukan untuk mempertikaikan merit isu sedang berlangsung.

Sebelum itu, Zahid menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu mendakwa melihat perintah tambahan untuk Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mendakwa beliau dimaklumkan perkara itu oleh Tengku Zafrul dalam pertemuan di kediamannya pada 30 Januari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram