Jangan mudah percaya, iklan pembaharuan lesen, cukai BJAK tiada kelulusan JPJ


  • Primer
  • Isnin, 06 Mei 2024

JPJ mengesahkan iklan perkhidmatan urus niaga BJAK tidak mendapat kelulusan. — Gambar hiasan/BJAK

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan kandungan iklan berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian ditawarkan pihak BJAK Sdn Bhd.

JPJ dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mahupun JPJ tidak pernah memberikan kelulusan kepada pihak BJAK untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

Menurutnya, kenyataan BJAK melalui laman sesawang mereka iaitu pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.

BACA LAGI: Kecewa putus cinta, remaja Brazil sanggup redah hujan tikam kekasih dan ibu

BACA LAGI: Bukan setakat penjawat awam, potong juga elaun dan gaji ahli Parlimen kaki ponteng

156017276_3858864367504312_1150011379110125534_n

Iklan BJAK tidak mendapat kelulusan JPJ. — Facebook/BJAK

JPJ turut menegaskan bahawa tiada integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh pihak BJAK.

"Kami menerima beberapa aduan daripada orang awam antaranya pembaharuan cukai jalan telah dilaksanakan melalui laman sesawang BJAK, namun tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini.

"Kami juga menerima aduan ketidakpuasan hati orang awam yang mana perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan oleh BJAK," katanya.

Tegasnya lagi, pihak MOT atau JPJ tidak pernah meluluskan sebarang pengenaan caj tambahan yang pada masa ini dikenakan oleh BJAK kepada pelanggan mereka.

2016744

JPJ menggalakkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi sah seperti MyJPJ. — JPJ

Pada masa sama, JPJ ingin menggalakkan urus niaga memperbaharui cukai jalan melalui kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga JPJ (Pos Malaysia, MyEG dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sahaja.

"Jabatan ini sekali lagi ingin menegaskan bahawa pengoperasian yang dilakukan oleh pihak BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran dengan pihak JPJ.

"Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan yang tidak sah bagi mengelakkan sebarang penipuan dan kerugian, sebaliknya orang ramai dinasihatkan supaya merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut.

"Kami sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam terutamanya para pelanggan JPJ sentiasa terpelihara," tambahnya.

Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan kepada pihak JPJ menerusi portal aduan rasmi JPJ di https://jpj.spab.gov.my/. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram