Farhash Wafa bukan lagi pemegang saham utama HeiTech


  • Bizz
  • Khamis, 18 Apr 2024

Farhash pada 14 Mac lalu memperoleh 15.9 peratus kepentingan atau 16.1 juta saham dalam HeiTech dan muncul sebagai pemegang saham utama syarikat itu.

DATUK Farhash Wafa Salvador sudah tidak lagi menjadi pemegang saham utama Heitech Padu Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan teknologi itu berkata, perkembangan itu berdasarkan perubahan berlaku terhadap pegangan saham Farhash dalam Mfivesouthsea Sdn Bhd, iaitu syarikat induk Rosetta Partners Sdn Bhd.

Pada 14 Mac lalu, Farhash memperoleh 15.9 peratus kepentingan atau 16.1 juta saham dalam HeiTech dan muncul sebagai pemegang saham utama syarikat itu.

Pada awal minggu ini, HeiTech mengumumkan ia memperoleh kontrak RM190.01 juta untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal untuk infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sistem MySIKAP (maklumat pemandu dan kenderaan).

BACA LAGI: Langkah potong subsidi bahan api kekal dilaksana tahun ini — Rafizi

Perkembangan itu menimbulkan kritikan dan spekulasi kontrak itu diberikan kepada HeiTech kerana pegangan saham dan hubungan Farhash dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memandangkan beliau pernah menjadi pembantu politik kepada pemimpin itu.

Spekulasi itu bagaimanapun dinafikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang berkata, kontrak itu diberikan kepada HeiTech melalui tender terbuka dan syarikat itu memenangi kontrak terbabit kerana ia menawarkan harga berpatutan RM185.07 juta dan melepasi semua peringkat penilaian.

BACA LAGI: Akaun 3 KWSP tambah alternatif simpanan pencarum, sedia dana kecemasan ketika terdesak

Anggaran harga siling bagi projek itu dianggarkan bernilai RM207.31 juta sementara syarikat pembida lain menawarkan harga masing-masing pada RM186.88 juta dan RM199.51 juta.

Farhash kini juga merupakan pengerusi dan pengarah beberapa syarikat, termasuk 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dan Apex Equity Holdings Bhd.

HeiTech terakhir didagangkan pada RM2.30 sesaham dengan permodalan pasaran RM232.82 juta. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram