SEBUAH pesawat ringan dilaporkan terhempas dalam insiden yang berlaku di Sungkai, Perak pada Sabtu.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 9.55 pagi itu berlaku di kawasan ladang Besout 2 Tambahan, Sungkai, dengan kesemua penumpang dilaporkan selamat.
Didapati pesawat tersebut merupakan pesawat latihan yang dinaiki oleh dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita.
Pihak bomba berada di tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa. — Facebook/Info Semasa
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, kesemua mangsa yang terselamat itu telah dihantar ke Hospital Slim River bagi mendapatkan rawatan.
"Ya, pesawat latihan, penumpang terlibat selamat. Kejadian berlaku pada pukul 9.55 pagi dengan dua mangsa terlibat iaitu lelaki dan wanita telah dihantar ke Hospital Slim River," kata Yusri.
Dalam pada itu, pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan kejadian tersebut.
Kata CAAM, pesawat yang terhempas itu adalah model jenis Cessna 172N Skyhawk dengan pendaftaran 9M-ADA. Pesawat tersebut dikendalikan oleh Akademi Penerbangan Layang-Layang.
CAAM mengatakan, pesawat tersebut telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) menerima panggilan terakhir dari Slim River pada jam 9.35 pagi.
BACA LAGI: [VIDEO] Bapa tak jadi makan bersama 2 anak, pelanggan meja sebelah selamba merokok di restoran
"Tindakan susulan telah diambil oleh Pegawai Kawalan Trafik Udara bertugas setelah pesawat gagal melaporkan kedudukan selanjutnya di Bidor.
"Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM di KLATCC diaktifkan pada pukul 10.14 pagi setelah menerima maklumat berkenaan nahas tersebut bagi tujuan koordinasi operasi mencari dan menyelamat dan kedua-dua individu berkenaan telah diselamatkan," kata CAAM.
Tambah CAAM lagi, pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan akan mengadakan siasatan lanjut mengenai perkara ini.
Insiden tersebut disiasat mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram