Isu tahanan rumah Najib: Saya tiada niat kritik PM Anwar — Akmal Saleh


  • Politik
  • Ahad, 21 Apr 2024

Akmal sebelum ini dilihat seperti mengkritik Anwar. — THE STAR/AZMAN GHANI

KETUA Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mengakui yang tidak berniat untuk mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, Akmal menjadi perhatian kerana melakukan hantaran di media sosial yang seperti mengkritik Anwar dalam hal tersebut hingga mendapat maklum balas daripada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli.

Menurut Akmal, dia sekadar mahu menyampai persoalan yang dikeluarkan oleh mereka yang berada di peringkat akar umbi mengenai isu tersebut.

"Pertama sekali, saya tidak mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya cuma mewakili suara mereka di akar umbi yang ingin tahu perkembangan isu tersebut.

"Saya cuma bertanyakan soalan 'asas' dan saya adalah suara bagi akar umbi yang tertanya-tanya mengenai nasib Datuk Seri Najib Razak," kata Akmal.

BACA LAGI: 'Pandang kiri kanan', Adam Adli tegur hantaran Akmal Saleh singgung PM

BACA LAGI: Tahap bekalan jadi 2 prasyarat perlu dipenuhi andai mahu jadikan ubi kayu makanan ruji negara

Kenyataan Akmal sebelum ini telah meraih perhatian Adam hinggakan dia mengingatkan Ketua Pemuda Umno itu untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung hati Anwar.

Kata Adam, Akmal yang juga merupakan sebahagian daripada kerajaan pimpinan Anwar boleh terus bertanyakan atau menyuarakan pendapatnya kepada Perdana Menteri tanpa perlu membawa isu ke media sosial.

"Saudara ada akses luas dan penuh kepada pimpinan sendiri dan pimpinan parti rakan, termasuk Perdana Menteri kita. Apa pun perkara yang saudara ingin kemukakan mustahil tidak didengari, mustahil tidak dibalas.

"Mungkin saudara ada semangat tinggi untuk membela Datuk Seri Najib; itu ikrar Saudara yang kita tidak pernah larang kalau pun ada berbeza pandangan - cuma percayalah, menimbulkan suasana yang cenderung memulakan pergeseran sebegini tidak membantu pun dalam mencapai apa yang terbaik buat semua," kata Adam di media sosialnya. — THE STAR/RSN MURALI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram