SPRM siasat dakwaan pemimpin negeri beri kontrak kepada syarikat anak


  • 112
  • Ahad, 28 Apr 2024

SPRM menyiasat seorang pemimpin kanan di Utara tanah air kerana disyaki telah melantik beberapa syarikat mempunyai kepentingan dengannya. — Gambar hiasan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di Utara tanah air kerana disyaki telah melantik beberapa syarikat mempunyai kepentingan dengannya.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan, sumber memaklumkan siasatan itu menjurus beberapa projek pembekalan melibatkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.

BACA LAGI: Anak MB antara 6 individu ditahan reman SPRM kes tuntutan palsu RM600,000

Difahamkan, pemimpin berkenaan disyaki melantik beberapa syarikat mempunyai kepentingan dengan anaknya bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta.

“Dipercayai projek-projek ini dimonopoli oleh syarikat anaknya,” kata sumber.

Sumber berkata, kesalahan tersebut dipercayai dilakukan dari Januari 2023 hingga Mac 2024.

"Syarikat-syarikat tersebut turut disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu bagi kerja-kerja tersebut selain diberikan komisen kira-kira lima peratus daripada nilai projek," dedahnya.

BACA LAGI: SPRM, PDRM siasat laporan 4 'supercar' terkait skandal 1MDB dirampas di Jerman

Tambah sumber sama, setakat ini sebanyak 15 buah syarikat telah dikenal pasti dikawal oleh anak pemimpin tersebut.

"Antara kerja-kerja yang dilakukan adalah melibatkan pembekalan air mineral serta pembekalan hamper dan cenderahati,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut. — The Star/ MAZWIN NIK ANIS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram