[VIDEO] Berkat jaga ibu dan kakak OKU, Roslizam menang kondominium mewah RM602,800


  • Massa
  • Selasa, 30 Apr 2024

Roslizam sama sekali tidak menyangka terpilih sebagai pemenang ganjaran utama peraduan yang dianjurkan portal berita Majoriti bersempena ulang tahun keduanya.

TITIPAN doa ibu menghadiahkan rumah pertama buat Roslizam Ramlee, 44, yang diumumkan sebagai pemenang ganjaran utama Kondominium LEA by the Hills di Taman Melawati, Selangor dalam Kempen Majoriti Langgan dan Menang pada Selasa.

Pereka grafik sambilan dari Johor Bahru, Johor itu sama sekali tidak menyangka akan terpilih sebagai pemenang ganjaran utama bagi peraduan yang dianjurkan portal berita Majoriti bersempena ulang tahun keduanya.

Namun itulah yang dikatakan berkat doa ibu apabila anak kelima daripada lapan beradik itu kini mampu tersenyum selepas hadiah lumayan rebutan ramai itu, akhirnya menjadi miliknya.

BACA LAGI: Percutian ke Taiwan hadiah paling bermakna buat 2 pemenang Kempen Majoriti Langgan dan Menang

WhatsApp Image 2024-04-30 at 6.17.53 PM

Berkongsi kepada Majoriti, Roslizam memberitahu, sejak 10 tahun lalu, dia yang pernah berkhidmat di sebuah syarikat penerbangan di Kuala Lumpur membuat keputusan pulang ke Johor Bahru untuk membantu keluarga menjaga emaknya yang menderita sakit buah pinggang.

Roslizam berkata, ibunya juga kini terpaksa berkerusi roda akibat terjatuh ketika berada di rumah sehingga mengalami kecederaan di kaki.

Pada masa sama, dia juga menetap bersama kakaknya berusia 56 tahun yang menghidap sindrom Down.

"Biasa kami kena hantar mak untuk buat dialisis seminggu tiga kali. Jadi memang perlukan orang untuk jaga dan hantar setiap minggu," ceritanya kepada Majoriti.

Majlis pengumuman kesemua pemenang ganjaran dan hadiah utama Kempen Majoriti Langgan dan Menang itu diadakan di OSK Mori Park Sales Gallery, Shah Alam, Selangor, pada Selasa.

Acara yang berlangsung dalam suasana meriah itu menyaksikan seramai tujuh pemenang diumumkan bagi membawa pulang hadiah lumayan dalam peraduan tersebut.

OSK Mori Park merupakan kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) pertama di Seksyen 13, Shah Alam yang menghubungkan pembangunan pelan induk ke LRT3, Stesen Stadium Shah Alam dengan jarak hanya lebih kurang 800 meter.

Mori Park merupakan perbandaran ikonik baharu yang menawarkan akses mudah ke pelbagai kemudahan awam sedia ada seperti kedai runcit, pusat rekreasi, kemudahan perubatan, institusi pendidikan dan pejabat.

Fasa 1 Mori Park yang dinamakan sebagai Alia, disasar akan dilancarkan pada suku kedua 2024. Kawasan ini merupakan pembangunan bercampur terdiri daripada 22 unit lot runcit, 76 unit flexi suite dan 812 unit pangsapuri servis.

BACA LAGI: Dua pemenang baucar AEON RM25,000 mahu belanja keluarga, beli peti ais baharu

Majoriti's Langgan dan Menang grand winners announcement. —YAP CHEE HONG/The Star

Majlis pengumuman kesemua pemenang ganjaran dan hadiah utama Kempen Majoriti Langgan dan Menang itu diadakan di OSK Mori Park Sales Gallery, Shah Alam, Selangor, pada Selasa.

Sementara itu, Roslizam mengakui dia pada awalnya tidak memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai pemilihannya sebagai salah seorang pemenang utama.

Ujarnya, hal itu hanya dikongsikan kepada mereka ketika dalam perjalanan ke majlis pengumuman pada pagi Selasa.

"Waktu itu saya maklumkan menerusi WhatsApp, ada kemungkinan saya akan dapat hadiah dengan nilai besar, jadi saya minta satu keluarga doakan saya.

"Mungkin kemenangan ini juga berkat doa-doa mereka," katanya yang masih belum mendirikan rumah tangga.

Ketika ditanya sama ada meletakkan harapan memenangi ganjaran utama itu, Roslizam berkata, sejak awal penyertaan, dia sememangnya tidak berharap untuk memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan.

BACA LAGI: Percutian ke Taiwan hadiah paling bermakna buat 2 pemenang Kempen Majoriti Langgan dan Menang

Sebaliknya, kata Roslizam, dia lebih tertarik dengan tawaran pakej langganan berita mampu milik yang disediakan menerusi kempen berkenaan.

"Bukan sebab peraduan semata-mata. Tapi saya memang setiap hari baca berita dan dalam zaman sekarang kita nak cari berita daripada sumber yang sahih seperti Majoriti," katanya.

Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan terhadap kondominium yang dimenangi itu, Roslizam mengakui dia tidak sabar untuk melihat kediaman tersebut.

Bagaimanapun, dia masih belum ada perancangan untuk berpindah memandangkan hampir kesemua adik beradiknya menetap di Johor Bahru. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram