PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Ia terdiri daripada Khairul Azhari Saut yang merupakan Perikatan Nasional (PN) sementara parti penyandang Pakatan Harapan (PH) pula menampilkan Pang Sock Tao.
Dua lagi calon bertanding ialah Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon bebas iaitu Nyau Ke Xin.
Di atas kertas, persaingan utama dilihat tertumpu terhadap calon daripada dua gabungan terbesar iaitu Khairul Azhari dan Sock Tao.
Ketiadaan pihak ketiga yang berpengaruh termasuk pakatan seperti Muda-PSM yang membuat keputusan tidak menyertai PRK kali didapati turut menyumbang kepada kurangnya kemungkinan berlaku perpecahan undi.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu dalam Parlimen Hulu Selangor, diadakan selepas penyandangnya, Lee Kee Hiong yang mewakili PH daripada DAP meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Mei depan.
Berikut Majoriti senaraikan empat petunjuk bakal jadi penentu kepada kemenangan pada PRK kali ini.
1. Undi protes
Keputusan PH meletakkan calon pemimpin Cina dilihat mengendurkan sedikit kemungkinan berlakunya protes daripada pengundi Cina di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, ia tidak bermakna gabungan itu boleh duduk selesa. Ini kerana mereka tetap berpotensi berdepan masalah khususnya dalam meraih sokongan daripada pengundi India.
Pada PRU sebelum ini, PH dilihat mendapat sokongan yang kukuh daripada dua kelompok utama pengundi iaitu Cina dan India.
Bagaimanapun, perkara itu berkemungkinan tidak terjamin dengan terdapat timbulnya suara-suara tidak puas hati daripada kaum India.
Di peringkat nasional, antara isu penting yang menarik perhatian tentunya berkaitan dengan perkembangan semasa berhubung Unit Tranformasi India (MITRA) dan juga penempatan tempat matrikulasi untuk pelajar India.
BACA LAGI: Jadikan PRK Kuala Kubu Bharu referendum rakyat, Muda-PSM umum tidak bertanding
Hari mengundi dalam PRK Kuala Kubu Bharu jatuh pada tarikh 11 Mei depan.
Ketiadaan menteri daripada kaum India menerusi rombakan Kabinet yang dibuat Disember lalu juga boleh menjadi faktor menyumbang kepada ketidakpuasan hati kelompok pengundi ini.
Pada masa sama, terdapat juga beberapa isu akar umbi setempat dilihat memerlukan perhatian calon untuk ditangani dan diberikan penjelasan.
Kedua-dua perkara ini berkemungkinan menyebabkan pengundi India memilih membuat protes sama ada dengan mengundi PN atau melakukan keputusan tidak keluar mengundi.
Meskipun hanya memegang status sebagai kelompok minoriti, pengundi India di Kuala Kubu Bharu diramal bakal menjadi penentu utama dalam memastikan kemenangan calon yang bertanding pada PRK kali ini.
Pada waktu ini, demografi bagi DUN ini terdiri daripada pengundi Melayu yang merangkumi 46.4 peratus; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus).
Di pihak PH, untuk melepasi titik kemenangan, mereka memerlukan sokongan kukuh daripada pengundi tetap mereka sebelum ini iaitu Cina dan India yang membawa peratusan hampir 48 peratus di samping sedikit undi daripada pengundi Melayu yang dalam PRN dan PRU lepas dilihat lebih menyebelahi PN.
Bagi PN pula, undi Melayu sahaja tidak mencukupi. Dengan mengambil kira kesukaran mereka untuk menarik sokongan daripada kaum Cina, gabungan ini dilihat memerlukan undi daripada kaum India untuk membolehkan mereka mencipta kejutan merampas kerusi ini daripada DAP.
2. Saingan pengaruhi undi Melayu
Sebagai kelompok pengundi terbesar, sokongan daripada pengundi Melayu tentunya cukup signifikan dalam menentukan keputusan PRK kali ini.
Disebabkan itu, terdapat beberapa isu utama yang melingkari pengundi Melayu perlu diberikan perhatian oleh mereka yang bertanding.
Jangkaan isu besar yang mungkin membayangi perjalanan PRK kali ini tentunya isu seperti kalimah Allah pada stoking, penggunaan istilah kafir, logo kasut, pencen kerajaan, gaji penjawat awam dan juga pemotongan subsidi.
Dalam pada itu, di pihak PH, Umno yang ketika ini bersama Kerajaan Perpaduan mempunyai tugas besar untuk meyakinkan pengundinya untuk mengundi DAP.
Pada PRN dan PRU lalu, sokongan pengundi Melayu dilihat lebih menyebelahi PN.
3. Prestasi semasa Kerajaan Perpaduan
Dalam pada itu, prestasi semasa Kerajaan Perpaduan juga dijangka memainkan peranan besar dalam menentukan keputusan PRK Kuala Kubu Bharu.
Pada waktu ini, beberapa isu utama tentunya adalah keupayaan kerajaan menangani kos sara hidup, pelemahan nilai ringgit dan usaha menarik pelaburan asing.
Selain itu, isu seperti pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kelewatan melaksanakan reformasi institusi turut dijangka memberi kesan.
Pada masa sama, cara Kerajaan Perpaduan menangani isu kontroversi dan sensitif seperti stoking tertera kalimah ALLAH juga berpotensi memberi impak sama ada dari segi peratusan keluar mengundi atau peralihan undi.
Demografi bagi DUN ini terdiri daripada pengundi Melayu yang merangkumi 46.4 peratus; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus). — Gambar hiasan
Meskipun ia mungkin tidak diterjemahkan terhadap peralihan undi kepada PN, terdapat potensi kumpulan pengundi ini membuat keputusan untuk tidak keluar mengundi.
Situasi itu sekiranya berlaku boleh menjejaskan peluang PH untuk mengekalkan penguasaannya di Kuala Kubu Bharu.
Bagaimanapun, prestasi semasa kerajaan juga boleh menjadi senjata yang ampuh dalam membantu kemenangan mereka sekiranya mereka mampu memberikan penerangan yang efektif berkaitan dengan usaha yang sedang dilakukan.
4. Faktor pemimpin nama besar
Kehadiran pemimpin dan nama besar dalam PRK boleh mempengaruhi persaingan pada kali ini.
Di pihak PN, keputusan mereka meletakkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengetuai jentera dilihat merupakan langkah strategik yang berpotensi meningkatkan .
Sebagai Pengerusi PN Selangor, beliau dilihat mempunyai imej yang cukup berpengaruh khususnya di peringkat negeri dengan mengambil kira kedudukan sebagai bekas Menteri Besar.
Kejayaan beliau untuk memenangi dengan bergaya di DUN Hulu Kelang pada PRN lalu membuktikan dirinya masih lagi berupaya untuk menarik sokongan khususnya daripada pengundi Melayu.
Pada masa sama, rekod kepimpinannya semasa bersama beberapa kerajaan sebelum ini sama ketika pentadbiran PH dan PN juga boleh menjadi daya tarikan penting kepada pengundi untuk memilih PN.
Disebabkan itu, PH dilihat tidak boleh terlalu selesa ketika menjalankan kempennya dalam usaha mereka meyakinkan pengundi.
Tambahan pula, keputusan PRN lalu menyaksikan kerajaan pentadbiran PH gagal untuk meraih jumlah kerusi dua pertiga bagi menerajui Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram