'Reunion' 300 bekas staf Utusan tuntut pampasan, gaji tertunggak


  • Massa
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Antara 300 alumni Utusan yang hadir dalam majlis perjumpaan semula di bekas ibu pejabat Utusan di Jalan Utusan, Kuala Lumpur pada Sabtu.

SERAMAI 300 bekas kakitangan Utusan Melayu Malaysia Berhad (Utusan) hadir dalam majlis perjumpaan semula sempena memperingati 'kematian' syarikat akhbar Melayu tertua itu di hadapan bekas bangunan ibu pejabatnya di Jalan Utusan di ibu negara pada Sabtu.

Perjumpaan yang diadakan sempena memperingati ulang tahun ketiga penutupan Utusan itu mencatat sejarahnya tersendiri, kerana dihadiri oleh wakil semua bekas pekerja tanpa mengira status dan kali pertama pernah diadakan sejak syarikat itu ditutup pada Oktober 2019.

Perjumpaan tersebut melambangkan soladiriti tertinggi bekas kakitangan Utusan kerana disertai bekas pekerja tanpa mengira pangkat dan status berhenti, sama ada diberhentikan selepas syarikat ditutup, peserta skim pemberhentian sukarela (VSS), kakitangan bersara wajib atau berhenti.

Pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan tersebut, Saifol Bakhtiar Hamik berkata, tujuan utama perhimpunan itu diadakan adalah bagi mengumpulkan semula semua bekas pekerja Utusan dan menjalinkan silaturahim sesama mereka.

"Walaupun syarikat Utusan Melayu telah tiada, namun sejarah, semangat dan jasa institusi itu tetap mengalir dalam diri setiap bekas pekerjanya," katanya yang juga Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu pada majlis tersebut.

Selain itu, beliau berkata, perhimpunan itu diadakan untuk memberi mesej kepada orang ramai dan pemimpin negara, terutama Umno yang merupakan bekas pemilik syarikat itu bahawa nasib dan kebajikan 1,500 bekas kakitangan Utusan yang diberhentikan serta mereka yang mengambil VSS masih terabai, selepas syarikat ditutup pada 9 Oktober 2019.

"Sehingga kini, seramai 13 orang telah meninggal dunia tanpa mendapat bayaran satu sen pun pampasan atau tunggakan baki VSS dengan 23 orang lagi bekas kakitangan dalam keadaan daif kerana mengidap pelbagai penyakit selepas syarikat ditutup," katanya.

Bukan itu sahaja, jelas beliau, perhimpunan itu juga bertujuan mendesak pihak pelikuidator UHY Malaysia - yang mengambil alih urusan pelikuidari aset Utusan - agar segera membuat bayaran wajib mengikut Akta Syarikat dan Akta Pekerja, pampasan serta tunggakan VSS yang tergantung sejak tiga tahun lepas.

"Seperti yang kita dapat lihat, papan tanda logo Utusan Melayu telah diturunkan dari bangunan bekas ibu pejabat syarikat akhbar itu dan kilangnya di Bangi baru-baru ini.

"Ini menunjukkan sudah tentu bangunan-bangunan yang dianggarkan bernilai lebih RM150 juta itu telah terjual," katanya.

Malah, tinjauan terhadap aset dan bangunan-bangunan milik Utusan Melayu yang bernilai ratusan ringgit di seluruh negara juga telah berpindah milik, disebabkan ia telah diruntuhkan serta sedang dibina semula oleh pemilik baharu.

262ac530-df9a-4683-8b16-d95523543823

Nasib dan kebajikan 1,500 bekas kakitangan Utusan yang diberhentikan serta mereka yang mengambil VSS dilapor masih terabai.

Pada masa sama, Bakhtiar menyifatkan bahawa alasan UHY yang menyatakan banyak aset Utusan masih tidak boleh dijual kerana Covid-19, selain syarikat tiada wang untuk membayar bekas kakitangan serta tunggakan VSS adalah tidak logik.

Lantaran itu, Bakhtiar berkata, perhimpunan berkenaan mencadangkan agar kepimpinan negara yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya campur tangan dalam membela nasib bekas-bekas kakitangan Utusan yang pernah berkhidmat dengan Utusan.

Apatah lagi, katanya, akhbar tersebut telah sekian lama menjadi penyokong perjuangan orang-orang Melayu dan Islam di negara ini.

"Kita semua tahu, Datuk Seri Ismail Sabri sudah tolong selesaikan isu tuntutan pampasan bekas pekerja Perwaja sebelum ini dan kini kami berharap Datuk Seri dapat pula bantu kami bekas kakitangan Utusan," katanya.

Beliau berkata, antara yang boleh dilakukan oleh Perdana Menteri adalah dengan memanggil pihak UHY dan wakil-wakil bekas pekerja untuk berbincang menyelesaikan isu tuntutan itu, seterusnya menyelesaikan kes tuntutan di mahkamah.

"Kami juga berharap agar pihak Mahkamah Tinggi dapat mempercepatkan proses perbicaraan yang sedang berlangsung dan dijalankan dengan pertimbangan yang paling adil berpandukan prinsip pembelaan pekerja-pekerja yang ditindas," tambahnya.

9245637a-75d9-44ae-bda4-764dc924e06c

Kepimpinan negara digesa campur tangan dalam membela nasib bekas-bekas kakitangan Utusan yang pernah berkhidmat dengan syarikat tersebut.

Hasil pertemuan pada Sabtu juga memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa pasukan bertindak yang diwakili oleh semua pihak kumpulan pekerja selain penubuhan kelab alumni yang mewakili semua bekas kakitangan.

Oleh itu, satu memorandum akan diserahkan kepada UHY bagi menyelesaikan segala tuntutan dan hal-hal berkaitan, sementara satu lagi akan dihantar kepada Perdana Menteri.

Selain itu, bekas kakitangan juga akan mengunjungi pejabat Kementerian Sumber Manusia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta agensi-agensi itu membuat siasatan, sekiranya terdapat sebarang salah laku.

Ini terutamanya ketika proses penutupan syarikat Utusan Melayu, penjualan permit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! kepada pemilik baharu, proses penjualan aset Utusan dan kelewatan pelikuidasi melakukan pembayaran yang sepatutnya kepada bekas kakitangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram