Waris Noor Azlina Jaafar, bekas jurugambar Utusan terima FPM dan Pencen Penakat PERKESO berjumlah hampir RM5,000


  • Massa
  • Rabu, 25 Okt 2023

Kunjungan Ziarah Prihatin oleh PERKESO di kediaman Allahyarhamah Noor Azlina Jaafar di Balakong, Selangor pada Rabu.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) masih membela nasib keluarga bekas jurugambar, Allahyarhamah Noor Azlina Jaafar susulan penutupan operasi selama hampir tiga tahun syarikat media terkemuka Kumpulan Utusan (M) Berhad.

Suami Allahyarhamah Norazlina, Muhammad Basir Abu Bakar dan tiga anak yang masing-masing berusia antara lapan sehingga 13 tahun layak menerima dua faedah daripada pihak PERKESO.

Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO, John Riba Marin dalam sesi Ziarah Prihatin PERKESO di kediaman arwah di Balakong, Selangor pada Rabu berkata, waris bekas jurugambar berkenaan diberikan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sehingga RM2,000 yang dibayar secara sekali gus, selain Faedah Pencen Penakat.

Katanya, pengiraan Faedah Pencen Penakat dibuat berdasarkan semakan terhadap rekod caruman PERKESO arwah yang berkhidmat selama 18 tahun dan lapan bulan di tiga syarikat berbeza sejak 1996.

“Walaupun sudah tiga tahun arwah diberhentikan kerja susulan penutupan operasi Kumpulan Utusan, warisnya masih layak menerima Pencen Penakat berjumlah RM2,567.50 setiap bulan, bermula 1 November 2023.

"Bayaran pencen ini akan diagihkan mengikut syer kepada orang tanggungan iaitu suami arwah untuk sepanjang hayatnya dan tiga lagi anak sehingga berusia 21 tahun atau selama melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama.

"Semoga dengan faedah daripada PERKESO ini dapat menampung kelangsungan hidup suami dan anak arwah," katanya.

DSC03086

Suami Allahyarhamah Norazlina, Muhammad Basir Abu Bakar dan tiga anak yang masing-masing berusia antara lapan sehingga 13 tahun.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan Ziarah Prihatin di kediaman arwah dekat Balakong, Selangor yang turut dihadiri Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim.

Berikutan penamatan operasi syarikat Kumpulan Utusan (M) Berhad pada 2019, arwah Noor Azlina yang turut terlibat dalam pemberhentian kerja juga menerima faedah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) PERKESO, menerusi peruntukan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bagi tempoh selama dua bulan, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,135.

Bagaimanapun, arwah mengambil keputusan menarik diri daripada meneruskan program pencarian kerjaya yang direncana PERKESO menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pada bulan ketiga kerana berhasrat untuk memberikan tumpuan kepada perniagaan sendiri ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram