Tiga tahun tunggu pampasan, Tun Daim simpati nasib bekas pekerja Utusan


  • Massa
  • Selasa, 04 Okt 2022

Tun Daim meluangkan masa mengadakan perjumpaan selama 45 minit dengan lima bekas pekerja Utusan Melayu di pejabatnya di Menara Ilham, Kuala Lumpur pada Selasa

TOKOH konglomerat terkenal, Tun Daim Zainuddin melahirkan simpati kepada nasib bekas pekerja Utusan Melayu (Utusan) yang masih menunggu pampasan daripada bekas majikan mereka walaupun syarikat itu sudah tiga tahun ditutup.

Dalam pertemuan selama 45 minit dengan lima bekas pekerja Utusan Melayu di pejabatnya di Menara Ilham, Kuala Lumpur pada Selasa, Tun Daim menyatakan sokongan kepada perjuangan bekas kakitangan Utusan yang teraniaya.

“Kalau nak tutup syarikat tutuplah, bayarlah apa yang patut kepada pekerja,” katanya yang banyak memberi semangat dan nasihat mengenai tindakan yang boleh diambil dalam perjuangan bekas pekerja Utusan menuntut hak.

WhatsApp Image 2022-10-04 at 19.15.57 (1)

Tun Daim (tengah) menyatakan sokongan kepada perjuangan bekas kakitangan Utusan yang teraniaya.

Melalui pertemuan itu, Tun Daim turut menasihatkan agar kumpulan gerakan perjuangan menuntut hak mereka dan meminta ihsan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk masuk campur kerana beliau yakin pemimpin berkenaan boleh membantu bekas pekerja Utusan.

“Penutupan Utusan sememangnya satu peristiwa menyedihkan kerana ia merupakan satu entiti yang melambangkan perjuangan orang-orang Melayu sejak zaman sebelum merdeka,” katanya.

Ahad ini genap syarikat Utusan Melayu ditutup selama tiga tahun dengan kaedah penggulungan sukarela, bagaimanapun tiada sebarang pampasan diberikan kepada kira-kira 1,500 bekas pekerja dan pengambil skim pemberhentian sukarela (VSS).

Sabtu lepas, seramai 300 bekas kakitangan Utusan mengadakan perjumpaan semula sempena memperingati ‘kematian’ syarikat akhbar Melayu tertua itu di hadapan bekas bangunan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Perjumpaan yang diadakan sempena memperingati ulang tahun ketiga penutupan Utusan itu mencatat sejarahnya tersendiri kerana dihadiri oleh wakil semua bekas pekerja tanpa mengira status dan kali pertama pernah diadakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram