SIAR: Kenali 5 hero Malaya era 1960-an jadi kegilaan wanita, mendominasi filem hitam putih


  • Hiburan
  • Ahad, 22 Jan 2023

Watak Dr Ismadi yang dilakonkan Ahmad Mahmud (kiri) dalam filem Ibu Mertuaku meninggal kesan kepada penonton sehingga ke hari ini.

SEBELUM adanya kedatangan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Remy Ishak, Beto Khusyairi, Shukri Yahaya, Meerqeen, Hun Haqiem atau Nadhir Nasar, industri hiburan terlebih dahulu rancak dengan aktor prolifik Malaya.

Ketika era 1950-an dan 1960-an, terdapat beberapa pelakon yang menghiasi layar perak dan naskhah mereka masih ditonton sehingga ke hari ini.

Biarpun sebilangannya ada yang menjangkau usia lebih setengah abad, namun lelucon dan plot penceritaan yang ditonjolkan kekal memberi impak biarpun sudah beberapa kali ditonton.

Kualiti yang dipaparkan tetap memberi kepuasan meskipun ketika itu teknologi pembikinan filem masih tidak sehebat sekarang.

Dengan itu Majoriti senaraikan lima pelakon yang menjadi dan kegilaan ramai wanita di zaman itu.

Nordin Ahmad

Boleh disenaraikan sebagai 'lelaki Melayu terakhir', aktor Nordin Ahmad yang dahulunya dikatakan berkhidmat sebagai kerani Tentera Udara Diraja British, Singapura pada 1951 tertarik dengan iklan pencarian pelakon di akhbar Utusan Melayu.

Hadir ke sesi uji bakat, pengarah S.Ramanathan menyifatkan Nordin tidak mampu menjadi pelakon. Kemudian beliau diterima bekerja sebagai salah seorang kru di studio Malay Film Production (MFP).

Setelah beberapa lama menjadi pelakon tambahan tanpa dialog, pengarah Haji Mahadi mengambilnya untuk muncul dalam filem pertama bertajuk Permata di Perlimbahan.

Sayangnya filem itu gagal meraih keuntungan dan kerjaya Nordin pun menjadi menjadi kelam. Bagaimanapun dia tetap berusaha bersungguh-sungguh sehinggalah rakan baiknya, Tan Sri P. Ramlee mengambilnya sebagai hero dalam Semerah Padi pada 1956.

Sejak itu kerjayanya memuncak sehingga dia membintangi beberapa filem seperti Abu Hassan Penchuri, Hang Tuah, Anak-ku Sazali, Orang Minyak, Mahsuri, Sri Mersing dan Naga Tasik Chini.

Nordin turut pernah memenangi anugerah Pelakon Terbaik 1961 dan 1963 menerusi filem Hang Jebat serta Chuchu Datuk Merah.

Aziz Jaafar

Ketika di usia muda, aktor Aziz Jaafar antara pelakon yang memiliki pakej lengkap sebagai bintang filem. Masakan tidak, beliau memiliki bakat dalam lakonan, nyanyian dan berwajah tampan.

Aziz yang juga suami kepada seniwati, Normadiah. Kedua-dua dikatakan saling jatuh cinta ketika menyertai kumpulan nyanyian, Panca Sitara sekitar 1960-an.

Beralih kepada kerjaya lakonan, Aziz kerap diberi peluang untuk membawakan watak utama. Antara filem dibintanginya seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Dandan Setia, Lela Manja, Sumpah Wanita, Batu Durhaka, Nora Zain - Agen Wanita 001, Anak Buluh Betong dan Layar Lara.

Tan Sri Jins Shamsuddin

Aktor yang tidak kurang tampan, Tan Sri Jins Shamsuddin antara yang pelakon kerap diberi membawa watak utama.

Penampilannya sebagai anak derhaka dalam filem Si Tanggang jelas memberi kesan sehingga sekarang.

Setiap kali filem ditayangkan, penonton pasti akan mengalirkan air mata dan kesal dengan sikap Tanggang yang melupakan ibunya hanya kerana dia sudah berkahwin dengan puteri raja.

Filem lain yang dibintanginya ialah, Pancha Delima, Sarjan Hassan, Dandan Setia, Megat Terawis, Darah Muda, Kanchan Tirana, Menanti Hari Esok dan Ali Setan.

Tan Sri P. Ramlee

majoriti2023 (7)

Peminat industri filem Melayu tentu sahaja mengenali dengan aktor, pengarah, pengubah lagu dan penyanyi, Tan Sri P. Ramlee.

Aktor berbakat besar itu menjadi pujaaan jutaan peminat dan contoh kepada penggiat seni semasa. Filem arahan beliau banyak ditayangkan sehingga ke hari ini.

Kredibiliti beliau dalam menghasilkan karya dan membentuk bakat baharu mahupun menjadi pencetus kerjaya mereka. Salah seorangnya Nordin Ahmad, Datuk Sarimah Ahmad dan Mariani.

Membintangi lebih 50 buah filem, antara naskhah dibintanginya ialah Abu Hassan Penchuri, Hang Tuah, Anak-ku Sazali, Bujang Lapok, Sumpah Orang Minyak, Sarjan Hassan, Ali Baba Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, Sitora Harimau Jadian, Tiga Abdul, Do Re Mi, Keluarga 69 dan Putus Sudah Kaseh Sayang.

Datuk Ahmad Mahmud

majoriti2023 (5)

Penampilan pelakon Datuk Ahmad Mahmud tidak dapat dilupakan dalam filem Raja Bersiong, Dayang Senandong, Ibu Mertuaku dan Seniman Bujang Lapok.

Watak Dr Ismadi dalam Ibu Mertuaku membuatkan dirinya mendapat kecaman kerana tetap berusaha merampas cinta Sabariah meskipun mengenai dia sudah berkahwin dengan Kassim Selamat.

Mengimbau sejarah, Ahmad Mahmud memulakan kerjaya sebagai pelakon di Cathay Keris Film dengan membintangi filem Perwira Di Lautan Teduh.

Awalnya kemunculan beliau tidak mendapat perhatian sehinggalah pengarah K.M. Basker mengambilnya sebagai teraju utama pada 1953.

Sejak itu, dia terus melebarkan sayap dan membintangi filem lain seperti Hang Tuah, Matahari, Putera Bertopeng, Isi Neraka, Pusaka Pontianak, Lanang Sejagat, Kisah Seorang Biduan dan Ranjau Sepanjang Jalan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram