TOKOH Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menggesa pembayaran segera dibuat kepada 160 orang bekas kakitangan syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) yang terlibat dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) ekoran keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Oktober lalu.
Beliau yang bekas Ketua Pengarang di syarikat itu berharap agar ratusan lagi pekerja UMMB yang tidak terlibat dengan VSS dan sebaliknya ditamatkan perkhidmatan akibat penghentian operasi syarikat turut diberikan perhatian sama.
"Saya menggesa pihak pelikuidasi yang diberikan amanah memastikan pekerja yang terlibat dalam VSS mendapat pampasan mereka secepat mungkin. Sebelum ini mereka telah menuntut pemilik baharu serta majikan menunaikan janji untuk melangsaikan bayaran baki VSS menggunakan dana hasil penjualan hartanah milik UMMB," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nadzarin Wok Nordin memutuskan bahawa penerima VSS adalah benefisiari harta-harta amanah dan mereka bukan pemiutang UMMB. Oleh yang demikian, mereka tidak terlibat dalam proses likuidasi dan berhak menerima manfaat daripada harta-harta yang dilabelkan sebagai amanah.
Dalam penghakiman beliau, Nadzarin juga mengisytiharkan 29 hartanah milik UMMB dan anak-anak syarikat UMMB termasuk Utusan Publications dan Distributor Sdn Bhd, U-Print Sdn Bhd, Utusan Land Sdn Bhd, Juasa Holdings Sdn Bhd dan Madiamony Sdn Bhd adalah 'harta amanah'.
Johan yang juga Lembaga Pengarah UMMB (1992-1998), berkata, beliau amat mengalu-alukan keputusan mahkamah itu.
Menurutnya, semua kakitangan UMMB menanggung penderitaan yang luar biasa akibat diberhentikan tanpa pampasan sewajarnya bahkan sebahagian besar daripada mereka yang hilang mata pencarian hidup dalam keadaan yang sangat mencabar beberapa tahun kebelakangan ini.
"Saya berdukacita bahawa syarikat yang bermula pada tahun 1939 dan yang bertanggungjawab menerbitkan akhbar yang dianggap suara keramat orang Melayu telah terhenti operasinya pada tahun 2019.
"Akhbar dan majalah terbitan UMMB telah menjadi sebahagian daripada sejarah bangsa Melayu dan negara Malaysia. Selama 80 tahun, akhbar dan majalah terbitan UMMB telah menjadi perakam sejarah negara bangsa yang bangga ini," katanya.
Katanya, sumbangan para wartawan dan petugas UMMB harus sentiasa dihargai.
"Apa yang berlaku pada mereka selepas penutupan syarikat adalah sejarah getir dunia kewartawanan negara, khususnya kewartawanan Melayu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram