Tiada tindakan lanjut terhadap Gilley, IPT tidak perlu rujuk KPT jika jemput penceramah asing — Menteri


  • Primer
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Bruce Gilley mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan Malaysia sebagai negara anti-Yahudi.

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan mengambil tindakan lanjut terhadap ahli akademik Amerika Syarikat (AS), Bruce Gilley yang mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti negara ini ketika menyampaikan syarahan di Universiti Malaya (UM) pada 23 April lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tiada tindakan boleh diambil kerana Gilley sudah meninggalkan negara ini.

"Kita (kementerian) tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya KPT pada Jumaat.

BACA LAGI: 'Malaysia tak selamat', profesor AS cabut lari sempat burukkan negara

Beliau juga berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada UM berhubung isu tersebut.

Tambahnya, di sebalik kejadian itu, institusi pengajian tinggi tidak perlu merujuk kepada KPT jika mahu menjemput penceramah luar negara.

"Kebebasan pihak universiti perlu dihormati," katanya.

Zambry berkata, kementerian tidak akan menyekat pakar luar negara yang bertauliah untuk menyampaikan syarahan di Malaysia.



Zambry Abdul Kadir mengulas tentang kontroversi melibatkan Gilley.

Jelasnya, walaupun kementerian tidak campur tangan dalam pemilihan pakar akademik ini, pandangan mereka tidak boleh bertentangan dengan pendirian rakyat Malaysia.

"Kita ada ramai profesor di Malaysia yang lebih bagus daripada dia (Gilley)," katanya.

Pada 23 April lalu, Gilley mencetuskan kontroversi apabila mengatakan Malaysia mempunyai pemimpin politik menyokong Holokus terhadap orang Yahudi, sekali gus tidak akan menjadi pemain serius dalam hal ehwal dunia.

Dia turut memetik kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ketika perhimpunan aman pada Oktober 2023 bahawa 'Israel akan hilang tidak lama lagi' sebagai contoh kenyataan anti-Yahudi.

Susulan kenyataan kontroversi itu, KPT mengarahkan agar pihak UM menyiasat dan memberi laporan berhubung isu membabitkan Gilley.

UM kemudiannya mengeluarkan permohonan maaf berhubung isu tersebut.

Gilley juga difahamkan sudah meninggalkan Malaysia sejurus kontroversi itu tercetus dan sempat menambah kontroversi apabila menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara 'islamo-fascist' atau pelampau Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram