KEPUTUSAN Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengundur diri sebagai Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) telah mencetuskan situasi tidak menentu kepada parti berkenaan.
Syed Saddiq melepaskan jawatan selepas didapati bersalah terhadap empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun dan denda sebanyak RM10 juta serta dua kali sebatan. Pemimpin muda yang sebelum ini dilihat sebagai wajah serta suara bagi aspirasi generasi baharu kini terpaksa meningggalkan takhta kepimpinannya untuk membersihkan nama.
Maka, situasi itu membuka lembaran baharu bagi Muda iaitu mencari arah dan menentukan masa depan parti susulan ketiadaan figura utamanya.
Syed Saddiq didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman pada 9 November lalu. — Bernama
Pelantikan Amira Aisya Abd Aziz sebagai pemangku Presiden Muda menandakan satu peralihan kepimpinan yang boleh membawa kepada 'angin baharu' atau sebaliknya.
Perubahan tampuk kepimpinan itu berlaku pada masa yang kritikal buat Muda ketika masih dalam proses memperkukuh kedudukannya sebagai parti politik yang serius dan berpengaruh selepas keluar dari blok kerajaan.
Muda sebelum ini menggambarkan parti tersebut sebagai suara generasi muda dengan memberi fokus kepada isu-isu seperti pendidikan, pekerjaan dan isu sosial.
Namun, tanpa Syed Saddiq, parti tersebut mungkin berdepan cabaran dalam menarik perhatian orang ramai khususnya generasi muda.
Selain itu, cabaran utama buat parti itu adalah membangunkan semula identiti parti yang telah 'terpisah' daripada personaliti Syed Saddiq.
Syed Saddiq sebelum ini memberikan banyak pendedahan tentang Muda menerusi media sosial sebagai Presiden.
Amira Aisya yang dilantik sebagai pemangku Presiden Muda selepas ketiadaan Syed Saddiq. — Bernama
Namun, Muda kini perlu menunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka bukan sekadar platform bagi seseorang individu.
Salah satu langkah perlu dilakukan adalah meningkatkan fokus kepada pembangunan dasar yang kukuh, penglibatan komuniti lebih meluas dan kepimpinan dalaman yang kuat.
Selain itu, Muda juga perlu membina pakatan strategik dengan parti lain dan memperkukuhkan penglibatan mereka dalam isu-isu penting negara.
Parti itu turut berdepan cabaran untuk menunjukkan kemampuan mereka untuk mewakili suara rakyat yang lebih meluas berbanding kumpulan pengundi sedia ada.
Muda perlu membawa aspirasi pengundi daripada pelbagai demografik yang mungkin memiliki keperluan berbeza berbanding pengundi muda urban.
Syed Saddiq yang dikatakan telah banyak memberi sumbangan sepanjang menjadi presiden Muda. — Bernama
Selain itu, wujud kebimbangan terhadap kemampanan kewangan bagi sebuah parti kecil seperti Muda. Pembentukan struktur yang kukuh dan pengelolaan sumber kewangan yang efektif adalah kunci bagi kelangsungan sebuah parti politik.
Tanpa kedua-dua usaha itu, Muda mungkin akan berdepan kesulitan dalam menjalankan operasi dan kempen politik mereka secara efektif.
Persoalan yang timbul kini adalah sama ada Muda mampu bertahan tanpa kelibat Syed Saddiq. Jika tidak bernasib baik, mungkin Muda akan menemui nasib sama seperti banyak parti politik baharu yang tidak mampu bertahan.
Jawapannya terletak kepada respons Muda dalam menghadapi cabaran politik negara selepas ini. Mereka perlu membuktikan bahawa parti itu bukan sekadar bergantung kepada Syed Saddiq.
Pastinya, ramai pemerhati politik akan melihat perjalanan Muda selepas ini di bawah tampuk pemerintahan baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,
*Azhan Zainuddin, 39, merupakan seorang programmer di Kuala Lumpur yang menetap di Puchong, Selangor.*
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*