[VIDEO] Drama tepi jalan disyaki punca sportbike ditunggang pemain dram rempuh 4X4 di LPT Pahang


  • Tular
  • Sabtu, 27 Apr 2024

Motosikal ditunggang Haziq merempuh kenderaan pacuan empat roda di LPT.

SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang dinaikinya merempuh kenderaan pacuan empat roda di sebuah lebuhraya di Pahang pada Jumaat.

Mangsa dikenali sebagai Haziq Ramli yang juga merupakan seorang pemain dram sedang menaiki motosikal berkuasa tinggi ketika melalui kilometer 98.4 di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Lanchang pada 4.25 petang.

Kejadian disyaki bermula apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) jenis Mitsubishi Triton memperlahankan kenderaan di laluan paling kanan gara-gara mahu mengelak seorang wanita yang sedang melintas jalan dari lorong kanan menuju lorong kiri lebuh raya.

WhatsApp Image 2024-04-26 at 23.08.41

Keadaan mangsa di atas jalan selepas berlakunya rempuhan. — Facebook

Trap pikap itu dilihat memberikan lampu kecemasan, namun motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah belakang dalam kelajuan tinggi tidak sempat untuk mengelak daripada merempuh kenderaan pacuan empat roda tersebut.

Pada masa sama, wanita terbabit yang dikatakan mahu melakukan cubaan bunuh diri selamat menyeberangi lebuh raya tanpa mengalami sebarang kecederaan.

BACA LAGI: Anak MB Perlis, 4 individu lain dibebas dengan jaminan SPRM

BACA LAGI: Anwar pulangkan elaun Khazanah, kekal tidak ambil gaji PM

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Termerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, nahas berlaku ketika motosikal berkuasa besar dan pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari arah Kuantan Ke Kuala Lumpur.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas seorang wanita berusia 35 tahun memberhentikan kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya di bahu jalan dan bertindak melintas lebuh raya terbabit.

“Pemandu pacuan empat roda terbabit bertindak membrek secara mengejut bagi mengelak daripada merempuh wanita itu. Pada masa sama datang sebuah motosikal berkuasa besar dari arah belakang, melanggar belakang pacuan empat roda terbabit.

“Akibat rempuhan itu, penunggang terbabit terjatuh di lorong kanan lebuh raya dan motosikal ditunggangi mangsa tercampak ke bahagian belakang pacuan empat roda berkenaan," ujar Mazlan.

GMGXN_AbEAAyQ-s

Keadaan motosikal mangsa yang remuk akibat merempuh kenderaan pacuan empat roda di LPT.

Mazlan berkata lagi, akibat kemalangan itu penunggang terbabit yang dikenali sebagai Ahmad Haziq Ramli, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian wanita terbabit yang melintas jalan.

Katanya, susulan itu wanita berkenaan serta penumpang SUV iaitu seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun masing-masing direman selama dua dan tiga hari bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua mereka direman bermula hari ini (Sabtu) bagi siasatan lanjut susulan kes kemalangan yang melibatkan seorang lelaki maut di lokasi kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram