Ada unsur sabotaj, kasino tidak akan beroperasi di Johor — Onn Hafiz


  • Primer
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Onn Hafiz menafikan pembukaan kasino di Johor.

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tiada kasino akan dibuka di negeri tersebut seperti yang didakwa dalam laporan berita baru-baru ini.

Malah, beliau turut menyifatkan laporan itu sebagai satu tindakan sabotaj.

Tambahnya, kerajaan Negeri tidak pernah terlibat atau dirujuk untuk perkara sebegitu dan tidak menerima sebarang jemputan untuk membincangkannya.

“Kerajaan Johor ingin menegaskan bahawa tiada kasino akan dibuka atau dikendalikan di Johor.

“Semua sedia maklum bahawa Kerajaan Negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan sedang giat berusaha untuk merancak dan mempertingkatkan ekonomi Johor agar memberikan impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi buat Bangsa Johor.

"Justeru, khabar angin yang tular ini dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemar imej Forest City dan Johor secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: Kehilangan suami, hilang upaya jatuh tangga tinggi, waris dan pencarum terima manfaat bantuan PERKESO

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sempat merompak, suspek tertiarap kena cekup polis depan pintu

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, tiga kasino yang sebelum ini beroperasi di Johor sudah ditutup sejak zaman Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga telah bertitah bahawa Baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor.

"Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini.

"Dengan penegasan ini, Kerajaan Negeri berharap isu ini tidak lagi diperpanjang dan dimomokkan sehingga menjejaskan kerukunan dan nama baik negeri dan negara serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Sultan Sir Ibrahim memerintah Johor dari 1895 hingga 1959.

Pada masa sama, Onn Hafiz turut melahirkan keyakinannya terhadap pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan memberi nafas baharu kepada Forest City serta merancakkan ekonomi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram