SOLAT merupakan amalan pertama yang bakal dihitung apabila kita dihisab oleh ALLAH SWT pada hari akhirat kelak.
Pentingnya solat kepada setiap orang Islam terlihat dalam al-Quran itu sendiri yang membicarakan mengenai solat tidak kurang 100 ayat.
Antaranya firman ALLAH SWT:
الَّذِيْنَ هُمْ فِيْ صَلٰو تِهِمْ خَاشِعُوْنَ
Maksudnya: “Benar-benar sangat beruntung orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam mengerjakan sembahyang.” (Al-Mukminun: 2)
Tidak dinafikan, rata-rata pasangan yang sudah berumah tangga pastinya lebih sering menunaikan solat secara berjemaah.
Suami isteri perlulah menitikberatkan soal kedudukan solat supaya sah di sisi agama.
Solat secara berjemaah adalah salah satu perkara yang digalakkan dalam agama Islam lebih-lebih lagi apabila melibatkan pasangan suami isteri kerana ia mampu mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain.
Bagi kedudukan untuk solat berjemaah, ia adalah berbeza mengikut jantina dan hukumnya boleh berubah sekiranya posisi seperti yang ditetapkan tidak diikuti dengan betul.
Bagaimanapun, baru-baru ini tular mengenai sepasang sejadah berwarna putih dan merah dengan bercorak berbentuk 'love' yang bersambung jika diletakkan secara bersebelahan.
Kedudukan sejadah secara bersebelahan itu mengundang perdebatan orang ramai selepas posisi untuk solat berjemaah bagi lelaki dan wanita adalah sebaliknya dan bukan secara bersebelahan.
Meskipun susunan sejadah itu yang tidak tepat untuk lelaki dan wanita melakukan solat jemaah bersama-sama, ada juga netizen yang menjelaskan bahawa posisi secara bersebelahan itu hanya tepat jika imam dan makmum adalah berjantina sama.
Dalam pada itu, segelintir netizen pula berkata, sepasang sejadah itu mungkin boleh digunakan untuk menguatkan silaturahim antara ibu dan anak perempuan atau ayah serta anak lelaki mereka.
BACA LAGI: Khai Bahar berbeza, tak sama macam pemuda lain — Ziana Zain
Perkongsian tentang sepasang sejadah dengan corak berbentuk 'love' bercantum juga telah meraih perhatian daripada semua pihak.
Penceramah terkenal, Ustaz Wadi Annuar menerusi hantaran di laman Facebook menegaskan bahawa kedudukan makmum perempuan perlu berada di belakang imam dan bukannya secara bersebelahan.
Hukum makmum perempuan berada di sebelah kiri atau kanan imam adalah makruh serta boleh mengurangkan pahala bersolat jemaah.
ILUSTRASI KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM
1. Bapa dan anak lelaki – Bapa dan anak lelaki (ramai)
2. Suami, isteri dan anak lelaki (ramai) – Suami dan isteri
3. Suami, isteri dan anak lelaki – Ibu, bapa, anak lelaki dan anak perempuan
4. Ibu dan anak perempuan – Ibu dan anak perempuan ramai
Oleh itu, jelaslah terdapat banyak panduan kedudukan yang tepat mengikut ajaran Islam yang perlu diberi perhatian oleh seluruh umat Islam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram