[VIDEO] Simbah air panas terhadap lelaki sindrom Down, jurujual wanita dipenjara 10 tahun


Oo Saw Kee mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lelaki Sindrom Down.

SEORANG wanita berusia 39 tahun dihukum penjara 10 tahun serta denda RM6,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU), sindrom Down di Mahkamah Sesyen di Balik Pulau, Pulau Pinang pada Selasa.

Tertuduh, Oo Saw Kee mengangguk tanda faham selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Saw Kee sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada A. Solairaj, 33, dengan menyimbah air panas daripada botol ke arah mangsa sehingga menyebabkan lelaki itu melecur di dalam lif di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas pada pukul 9.24 pagi, 19 April.

Tertuduh kemudian mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin di Mahkamah Balik Pulau di Balik Pulau.

Pembantu jualan itu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata.

Pertuduhan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, atau sebat, jika didapati bersalah.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki OKU melecur seluruh badan, jiran simbah air panas di Bayan Lepas

BACA LAGI: [VIDEO] Dendam bertahun-tahun lama, punca jiran simbah lelaki Sindrom Down air panas di George Town

Peguam Edric Loo mewakili Saw Kee secara pro bono manakala pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Noordin Ismail.

Dilaporkan pada malam Jumaat (20 April), polis menahan seorang wanita yang didakwa menyimbah air panas ke atas seorang lelaki sindrom Down dalam lif pangsapuri dekat Balik Pulau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superitendan Jafri Md Zain berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan pada 9.21 malam di kawasan pangsapuri itu.

“Wanita itu tinggal di kawasan pangsapuri itu dan dia direman hari ini (20 April) bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu,” katanya.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 33 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah pangsapurinya di tingkat 16.

Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa melecur di bahagian depan dan belakang sebelah kanan akibat terkena air panas. Dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Video berdurasi 20 saat kejadian itu turut tular di media sosial, dengan netizen mengecam tindakan wanita itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram