SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat laporan polis terhadap tiga individu iaitu Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard, Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) kerana membuat dan menyebarkan tuduhan palsu terhadap pegawai-pegawai MCMC.
MCMC memaklumkan, laporan polis itu dibuat pada Jumaat berdasarkan kandungan yang dimuat naik oleh ketiga-tiga individu berkenaan di platform media sosial TikTok, Facebook dan YouTube pada 17 April lalu.
"Kandungan terbabit menggambarkan seolah-olah pegawai MCMC bertindak di bawah arahan yang mempunyai kepentingan politik selain bersifat penyalahgunaan kuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
BACA LAGI: Chegubard, Papagomo dan Salim Iskandar dipanggil rakam percakapan pada Rabu — MCMC
Tuduhan tidak berasas didakwa dilakukan oleh tiga individu tersebut kepada pegawai MCMC. — Gambar hiasan
BACA LAGI: MCMC, PDRM desak TikTok, Meta pantau kandungan memudaratkan
MCMC berkata, ada antara tiga individu berkenaan telah melakukan fitnah dengan menyatakan pegawai-pegawai yang terlibat dalam rakaman percakapan sudah muak dengan kerajaan semasa serta bertanya bila kerajaan akan bertukar.
"Sebagai sebuah badan berkanun, MCMC melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung didalamnya," menurutnya.
MCMC memaklumkan, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat individu-individu berkenaan dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan.
"Penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain ialah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
"Pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram