[VIDEO] Penunggang sportbike maut tercampak lepas rempuh belakang Honda Civic di Linkedua Johor


  • 112
  • Sabtu, 20 Apr 2024

Keadaan mangsa selepas tercampak dari motosikal ketika kemalangan berlaku di Johor pada Sabtu. — Facebook

SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas merempuh sebuah kereta di Lebuhraya Linkedua (Secondlink) arah Utara dekat Tuas, Johor Bahru, Johor pada Sabtu.

Menerusi video tular di Facebook, mangsa dilihat terbaring secara meniarap di atas jalan raya dengan kesan darah di lokasi berkenaan.

Motosikal mangsa juga melekat di but belakang kereta terbabit yang remuk teruk akibat rempuhan itu.

BACA LAGI: Jurang makin jauh? Ini pro-kontra kos sara hidup antara golongan T20 dan B20

BACA LAGI: 'Nak gurau ke berhibur berpada-pada', Firdaus Wong pesan jaga adab ziarah kubur

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan termasuk motosikal mangsa kira-kira pukul 8.50 pagi.

Katanya, hasil siasatan mendapati sebuah kereta jenis Honda Civic bergerak perlahan di lorong kanan dan berhenti kerana kesesakan jalan raya sebelum dirempuh dua penunggang motosikal.

"Sebuah motosikal jenis Vespa Piaggio merempuh kereta terbabit dan selang beberapa minit kemudian, sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Ninja EX650 (sportbike) pula merempuh kenderaan sama dari arah sama.

"Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa kedua tercampak ke jalan raya dan maut di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ibrahim berkata, pemandu kereta selamat manakala, penunggang Vespa Piaggio hanya cedera ringan pada kaki.

"Mangsa yang maut adalah lelaki berusia 28 tahun, pemandu lelaki 31 tahun dan penunggang Vespa 29 tahun," katanya.

Sementara itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan membahayakan nyawa.

Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kemalangan boleh memaklumkannya kepada pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram