SUSPEK lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Selangor akhirnya ditahan pada pukul 3 petang Isnin.
Menurut laporan media tempatan yang memetik sumber, turut dirampas ketika, tangkapan berkenaan adalah senjata api yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
Penangkapan suspek, Hafizul Hawari, 38 dilakukan di Jalan Bayam, Kota Bharu, Kelantan yang terletak di hadapan Hospital Pakar Perdana.
Lokasi itu hanya beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Suspek melepaskan tembakan yang mencederakan seorang pengawal peribadi di KLIA Terminal 1, Sepang, Selangor pada awal pagi Ahad.
Suspek dilaporkan ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan.
Difahamkan, satu pergelutan berlaku di hadapan Hospital Pakar Perdana ketika proses penangkapan lelaki tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum itu mengesahkan mengenai penahanan Hafizul pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram