Insiden Pulau Angsa: Kotak hitam helikopter Maritim Malaysia ditemui lepas 44 hari


  • 112
  • Khamis, 18 Apr 2024

Kotak hitam helikopter jenis AW139 dibawa ke makmal untuk dianalisis data rakaman setelah berjaya dinaikkan dari dasar laut Pulau Angsa. — FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KOTAK hitam helikopter jenis AW139 kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor pada 5 Mac lalu ditemukan selepas 44 hari pencarian.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kotak hitam berkenaan dijumpai pasukan penyelam penyelamat Maritim Malaysia selepas ekor pesawat terbabit dikesan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa, iaitu kira-kira 760 meter dari lokasi nahas berlaku.

“Setelah berjaya dinaikkan dari dasar laut, kotak hitam berkenaan telah dibawa ke makmal untuk dianalisis data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden yang berlaku.

“Pihak Maritim Malaysia menjangkakan keputusan data akan diperoleh dalam masa terdekat berikutan keadaan kotak hitam tidak mengalami sebarang kerosakan yang teruk,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: Mayat anak perempuan Ketua Polis Lahad Datu ditemui kakak ketika baru pulang sekolah

IMG-20240417-WA0138-768x1024

Operasi pencarian yang melibatkan 21 penyelam berhadapan dengan kesukaran akibat arus deras di dasar laut.

BACA LAGI: Tembak KLIA: Saya perlukan 7 peguam, kata suspek lepas direman seminggu bermula Selasa

Terdahulu, Hamid berkata, operasi pencarian yang melibatkan 21 penyelam berhadapan dengan kesukaran akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur.

Beliau berkata, selain Maritim Malaysia, misi pencarian kotak hitam itu turut disertai kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).

Turut terlibat dalam misi ini adalah pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia serta kru kapal dan bot Maritim Negeri Selangor.

Dalam kejadian pada 5 Mac itu, pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim terpaksa melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram