Dalam tegas ada lembutnya,'No child left behind' antara 4 koleksi kata sakti Fadhlina Sidek


  • Massa
  • Selasa, 31 Okt 2023

Fadhlina antara individu yang tegas menyuarakan pendapat berhubung isu pendidikan negara.

LANTANG bersuara dalam membela nasib murid sekolah di Malaysia, keupayaan Fadhlina Sidek selaku Menteri Pendidikan wajar dipuji sejak dilantik memegang jawatan itu pada 5 Disember tahun lalu di bawah kerajaan Madani.

Buktinya, sektor pendidikan negara yang kerap dilanda isu kontroversi dan hangat membabitkan golongan murid dan guru, tenang seketika dengan diselesaikan satu persatu oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Ia sekali gus menunjukkan betapa beliau sememangnya layak memegang jawatan tersebut dengan isu tandas sekolah yang melanda baru-baru ini, berjaya diatasi dengan sumbangan lebih RM70,000 disalurkan bagi memperbaharui fasiliti tersebut.

Dalam pada itu, di sebalik karakter lembut dan gaya pesonanya, Fadhlina juga memiliki ketegasan tersendiri dalam menyuarakan pendapat berkenaan isu pendidikan.

Berikut merupakan empat momen dan 'kata sakti' beliau yang paling diingati pernah ditinggalkan kepada masyarakat dan ahli politik di negara ini.

1. Pantun 'Tik, tik, tik, ja, ja, ja'

Susulan tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri terlibat pada Ogos lalu, Fadhlina menggesa agar semua pihak menumpukan perhatian kepada khidmat negara dan masyarakat.

Pesanan itu diluahkan dalam bentuk sindiran dan sinis menerusi serangkap pantun 'Tik, tik, tik, ja, ja, ja'. Sudah-sudahlah berpolitik, kini masa untuk bekerja'.

Menurutnya, pantun itu ditujukan khas buat ahli politik baik menteri mahupun individu yang gemar membangkitkan isu politik selepas PRN lalu.

Ditambah pula dengan kemelut sektor pendidikan dihadapi, beliau menyeru agar semua pemimpin yang dipilih kembali bersatu dan bekerja untuk rakyat.

2. Gagasan ABC

Gagasan Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) adalah antara usaha KPM dalam memastikan pembinaan karakter yang terkait rapat dengan disiplin, adab susila dan kesopanan yang menjadi teras kepada murid sekolah.

Menurut Fadhlina, konteks gagasan itu dibina ekoran kebimbangan pihaknya terhadap isu buli, jenayah dan salah laku seksual yang sering terpalit dengan murid sekolah.

Gagasan ABC dan intervensi khususnya program pemulihan serta nasihat akan diberikan kepada murid-murid dalam membantu mereka menjadi lebih disiplin.

Untuk rekod, berdasarkan laporan Tinjauan Kesihatan Remaja 2022, sebanyak 33 peratus remaja terlibat dalam aktiviti seksual sebelum mencapai usia 14 tahun manakala seramai 154,646 remaja dilaporkan pernah melakukan hubungan seks.

3. 'No child left behind'

Kementerian Pendidikan sedia memberikan akses kepada pendidikan berkualiti kepada semua murid di seluruh negara biarpun ada yang ditempatkan di pusat pemulihan.

Itu antara komitmen yang diberikan Fadhlina yang mahu setiap murid diberikan hak sama rata dalam aspek pendidikan tanpa sebarang unsur tindasan.

Akses pelajaran di pusat pemulihan sentiasa menjadi keutamaan KPM. — Gambar hiasan

Jelasnya, Sekolah Integriti yang terletak di dalam pusat pemulihan di seluruh negara, adalah satu langkah ke arah memastikan tiada kanak-kanak terlepas pembelajaran.

Di samping itu, beliau juga dikatakan sedang dalam usaha untuk membawa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) ke pusat pemulihan agar remaja di sana tidak terkecuali daripada mempelajari bidang kemahiran tersebut.

4. Tiga 'dosa' KPM

Fadhlina menyenaraikan kegiatan buli, jenayah seksual dan perkauman sebagai tiga 'dosa' besar yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak khususnya kumpulan sektor pendidikan.

Menyifatkan ia sebagai antara tiga isu terbesar yang masih gagal dibendung sejak berzaman, beliau menggesa agar pihak sekolah khususnya tampil memberikan kerjasama kepada Kementerian Pendidikan sekiranya berlaku kes itu dalam kalangan murid.

Tiga perkara yang dibangkitkan menunjukkan bahawa KPM sentiasa memandang serius kemelut dan kes jenayah yang berlaku di sekolah dan ia juga sebagai tanda usaha pihak berkenaan menangani isu tersebut secara menyeluruh.

Jelas Fadhlina, data yang tepat dapat membantu KPM mengenal pasti punca sebenar tiga dosa besar ini berlaku, sekali gus mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menanganinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram